UEM Edgenta, ITMax tawar penyelesaian bandar pintar di UAE, Arab Saudi | DagangNews Skip to main content

UEM Edgenta, ITMax tawar penyelesaian bandar pintar di UAE, Arab Saudi

KUALA LUMPUR 18 Okt - UEM Edgenta Bhd. bersama ITMAX System Bhd. (ITMax) akan memasarkan dan meningkatkan penawaran perkhidmatan serta penyelesaian teknologi bagi penyelesaian bandar pintar di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.

 

Ini menyaksikan kedua-dua pihak menandatangani Memorandum Penerokaan Perniagaan (MOBE) di Dubai, UAE pada 11 Oktober lalu yang turut merangkumi penawaran program pemantauan dan pengurusan kemudahan pintar di Malaysia.

 

Ketua Pegawai Strategi UEM Edgenta, Rais Imran berkata, pihaknya komited ke arah membina portfolio penyelesaian untuk bandar pintar, iaitu strategi utama untuk menjadi syarikat pengurusan kemudahan yang menggunakan teknologi.

 

Katanya, Edgenta NXT bersama-sama dengan cabang pelaksanaan kumpulan di seluruh dunia, sedang membina platform pintar yang cekap, autonomi, berkendalian tinggi pada infrastruktur awan yang membolehkannya membuat skala dan menyepadukannya dengan rakan kongsi menerusi cara yang sangat tangkas.

 

"Edgenta menyasarkan untuk memanfaatkan pertumbuhan pasaran di UAE dan Arab Saudi dan mengembangkan penawaran penyelesaian syarikat dari perspektif perkhidmatan dan teknologi.

 

"Kumpulan akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi untuk mempercepat pertumbuhan ekosistem UEM Edgenta untuk memperluas keupayaan menyeluruh kepada pelanggan," katanya dalam kenyataan seperti dilapor Bernama hari ini.

 

Kerjasama tersebut akan memberi tumpuan untuk memperluas tawaran penyelesaian Edgenta kepada keselamatan pintar dan pengawasan pintar terutama dalam ruang awam/komuniti.

 

Penyelesaian itu memberi kuasa kepada pihak berkuasa daripada perbandaran dan majlis perbandaran untuk bertindak balas secara proaktif terhadap peristiwa kritikal dan kecemasan. 

 

Teknologi tersebut dapat membantu mencapai persekitaran yang lebih selamat dan memacu pengalaman pengguna yang lebih baik.

 

ITMAX adalah penyedia infrastruktur sistem rangkaian ruang awam yang memberi tumpuan kepada pengurusan trafik pintar dan penyelesaian kecerdasan buatan untuk menggalakkan kehidupan pintar dan selamat di bandar-bandar dan perbandaran yang dikendalikan dengan cekap.

 

Pasaran antarabangsa dan kontrak teknologi terus menerajui pemerolehan kontrak baharu bagi UEM Edgenta, dengan kedua-duanya menyumbang lebih 70% sekali gus, membuktikan pengembangan pasaran antarabangsanya. Nilai perolehan kontrak semasa syarikat berjumlah RM10.5 bilion. - DagangNews.com