KUALA LUMPUR 26 Nov - UEM Edgenta Bhd kembali meraih keuntungan pada suku ketiga berakhir 30 Sept, 2021 dengan mencatatkan keuntungan bersih RM9.15 juta berbanding kerugian bersih RM19.01 juta pada suku yang sama tahun lepas berikutan perolehan yang lebih tinggi.
Perolehan melonjak kepada RM571.88 juta berbanding RM482.91 juta sebelum ini.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Syahrunizam Samsudin berkata, syarikat itu menuju ke arah perkembangan prestasi syarikat yang positif di samping terus meningkatkan tahap kemahiran dan perkhidmatannya untuk menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan.
“Kami teguh dalam meletakkan UEM Edgenta secara strategik dalam industri penyelesaian sokongan penjagaan kesihatan, serta syarikat penyelesaian infrastruktur terkemuka di rantau ini, dipacu oleh visi 'Edgenta of the Future 2025' kami,"katanya dalam kenyataan hari ini.
Syahrunizam berkata, penyelesaian digital UEM Edgenta yang mampan, terutamanya dalam sokongan penjagaan kesihatan dan pengurusan aset akan mengukuhkan kedudukan syarikat itu sebagai pemain utama dalam usaha pemulihan negara ketika negara bersiap sedia ke arah mempergiatkan semula ekonomi menuju fasa endemik COVID-19.
Mengenai pertumbuhan perolehan, beliau berkata, pertumbuhan itu membuktikan usaha syarikat yang berhemat dan berdaya tahan di samping memperkukuhkan strategi pertumbuhan dengan memberi fokus kepada produk baharu dan penyelesaian berteraskan teknologi, pengembangan ke pasaran baharu dan menjalinkan kerjasama serantau.
Sehingga 30 Sept, 2021, lembaran imbangan UEM Edgenta kekal kukuh dengan mengekalkan nisbah gearan yang rendah pada 0.3 kali.
Awal tahun ini, UEM Edgenta telah melancarkan Edgenta NXT sebagai platform ekosistem digital pertamanya dalam menyokong perniagaan melalui pendigitalan dan ketersambungan.
Edgenta NXT akan memberi peluang kepada syarikat dan penyedia penyelesaian baharu untuk menjual produk mereka kepada pelanggan dalam rangkaian selepas Edgenta NXT Procure dan Edgenta NXT Marketplace mula beroperasi dalam masa terdekat.
Syahrunizam berkata, pasaran serantau akan dapat memanfaatkan dengan sepenuhnya kepakaran UEM Edgenta dalam bidang sokongan penjagaan kesihatan, pengurusan aset dan penyelesaian digital.
“Walaupun kami yakin untuk mengambil bahagian dalam peluang pertumbuhan di dalam negara memandangkan ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 5.5% hingga 6.5% pada tahun 2022, disokong oleh pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial secara beransur-ansur serta penyambungan semula projek pembangunan, kami juga optimis untuk meneroka peluang serantau bagi memenuhi permintaan pasaran luar yang kukuh,” tambah Syahrunizam.
Sepanjang tahun 2021, UEM Edgenta telah menyediakan perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan secara berterusan kepada semua hospital awam dan swasta di bawah jagaannya di rantau ini.
Di Malaysia, UEM Edgenta telah secara proaktif menyokong usaha pemulihan COVID-19 Kerajaan, dengan inisiatif seperti 12 Unit Rawatan Rapi di Lapangan Hibrid (Field Hybrid ICU) di beberapa buah hospital di seluruh negara, serta penubuhan Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) untuk Remaja dan Suntikan Dos Penggalak yang ditempatkan di UEM Edgenta Learning Centre di Petaling Jaya.
Sehingga kini, PPV tersebut telah memberi suntikan vaksinasi kepada lebih 25,000 individu. - DagangNews.com