UEM Edgenta taja sepasang zirafah di Zoo Negara | DagangNews Skip to main content

UEM Edgenta taja sepasang zirafah di Zoo Negara

SYAHRUNIZAM Samsudin (kanan) menerima sijil tajaan daripada Rosly @ Rahmat Ahmat Lana pada majlis penyerahan sumbangan UEM Edgenta untuk menaja sepasang zirafah di Zoo Negara, hari ini.

 

 

KUALA LUMPUR 11 Dis. – UEM Edgenta Berhad menjalin kerjasama dengan Zoo Negara Malaysia menerusi penajaan ke atas sepasang zirafah sebagai haiwan angkat menerusi program ‘Adopt an Animal’ anjuran Zoo Negara.

 

Inisiatif tanggungjawab korporat syarikat ini adalah bertujuan untuk menyalurkan sumbangan kepada kebajikan tahunan zirafah-zirafah tersebut, yang merangkumi penyediaan bekalan makanan dan penjagaan veterinar.

 

Komitmen UEM Edgenta terhadap program ini adalah selaras dengan matlamat syarikat untuk menyokong pihak berkepentingan utamanya seperti Zoo Negara yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19, melalui aktiviti pembangunan komuniti yang positif dan berimpak tinggi.

 

“Kami amat berbangga dapat memainkan peranan sebagai warga korporat yang bertanggungjawab untuk bersama-sama membantu Zoo Negara dengan menaja sepasang zirafah yang comel, dikenali sebagai ‘Mas Boy’ dan ‘Mas Kira’.

 

"Inisiatif ini dapat memperluaskan komitmen kami dalam usaha ke arah kelestarian, serta mempromosikan amalan persekitaran, sosial dan tadbir urus yang baik (ESG) bersama rakan strategik seperti Zoo Negara.

 

"Bagi pihak syarikat dan orang ramai, saya ingin memuji pasukan Zoo Negara atas usaha cemerlang mereka sepanjang tahun yang mencabar ini dan kami berharap agar lebih banyak organisasi dan individu dapat tampil untuk membantu zoo bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan haiwan-haiwan ini,” kata Syahrunizam Samsudin, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta pada majlis penyerahan sumbangan di sini hari ini.

 

ziraf
SYAHRUNIZAM Samsudin memberi makan seekor dari zirafah yang dijadikan `haiwan angkat' UEM Edgenta di Zoo Negara.

 

Menurut International Union for Conservation of Nature/Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (“IUCN”), pertubuhan antarabangsa/pihak berkuasa global yang menyediakan pengetahuan mengenai status risiko kepupusan global untuk haiwan, kulat dan spesies tumbuhan, populasi zirafah liar telah berkurangan sebanyak 40% sejak tiga dekad yang lalu, dengan jumlah terkini kurang daripada 100,000 ekor.

 

UEM Edgenta telah menaja zirafah ‘Nubia’ atau nama saintifiknya Giraffa Camelopardalis yang dikategorikan sebagai salah satu daripada sembilan subspesis yang terancam di dunia.

 

“Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada UEM Edgenta atas sokongan ikhlas dan padu mereka demi kesejahteraan zirafah, dan juga membantu Zoo Negara menerusi program yang berimpak tinggi ini. Kami mengalu-alukan lebih banyak sumbangan daripada syarikat korporat dan orang ramai sepanjang tempoh pandemik ini, dan sumbangan tersebut akan terus digunakan untuk menyediakan penjagaan yang sempurna kepada haiwan kami di zoo,” kata Rosly @ Rahmat Ahmat Lana, Timbalan Presiden Persatuan Zoologi Malaysia, NGO yang bertanggungjawab menguruskan operasi harian di Zoo Negara.

 

UEM Edgenta (www.uemedgenta.com) adalah syarikat Pengurusan Aset dan Penyelesaian Infrastruktur terkemuka di rantau ini dan anak syarikat UEM Group. Disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (KLSE: EDGENTA), kepakarannya meliputi bahagian Healthcare Support dan Property & Facility Solutions, serta Infrastructure Services yang merangkumi penyelesaian untuk lebuh raya dan rel, termasuk pengurusan projek & perkhidmatan kejuruteraan menerusi OPUS Consultants.

 

Perkhidmatan menyeluruh UEM Edgenta merangkumi sepanjang kitaran hayat aset termasuk perundingan, perolehan dan perancangan pembinaan, operasi dan penyelenggaraan serta pengoptimuman, pemulihan dan naik taraf. UEM Edgenta beroperasi merentasi Malaysia, Singapura, Indonesia, Taiwan, India dan Emiriah Arab Bersatu. - DagangNews.com