UEM, Enggang Holdings bekerjasama bangunkan kilang solar berkapasiti hingga 170 MWp di Pahang | DagangNews Skip to main content

UEM, Enggang Holdings bekerjasama bangunkan kilang solar berkapasiti hingga 170 MWp di Pahang

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Dis - UEM Lestra Berhad (UEM Lestra), sayap industri hijau dan anak syarikat milik penuh UEM Group Bhd menandatangani satu perjanjian dengan Enggang Holdings Sdn Bhd untuk bekerjasama dalam membangunkan sebuah kilang solar di Gebeng, Pahang. 

 

Kilang solar yang dicadangkan tersebut, akan terletak berdekatan dengan Kawasan Perindustrian Gebeng merangkumi kawasan seluas 182 hektar dan dijangka akan memiliki kapasiti sehingga 170-megawatt peak (MWp). 

 

Kedudukan strategiknya berdekatan dengan kawasan perindustrian tersebut mewujudkan potensi untuk kilang itu menjadi penyumbang utama tenaga bersih kepada kawasan perindustrian berkenaan dan agenda tenaga boleh baharu Pahang.

 

Terdahulu, perjanjian tersebut dimeterai di Malaysia Pavilion, Expo City, Dubai di luar Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke-28 (COP28), baru-baru ini.

 

Pengarah Urusan UEM Group, Datuk Mohd Izani Ghani, telah menandatangani perjanjian tersebut bagi pihak UEM Lestra manakala Enggang Holdings diwakili ketua pegawai eksekutifnya, Tengku Datuk Aiman Putra Tengku Kamal Bharin. 

 

Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyaksikan majlis perjanjian tersebut, sambil disaksikan oleh Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad; Pengerusi UEM Group Datuk Amran Hafiz Affifudin dan Pengerusi Enggang Holdings, Datuk Seri Muthanna Abdullah.

 

Dalam titah ucaptama pembukaan yang disampaikan di Malaysia Pavilion, Pemangku Raja Pahang yang sebelum ini menzahirkan sokongan Baginda bagi sasaran sifar bersih, memberi komitmen bagi mempercepatkan peralihan tenaga boleh baharu di Pahang, khususnya dalam penjanaan tenaga solar.

 

Pemangku Raja Pahang turut bertitah bahawa untuk meluaskan lagi pelaksanaan tenaga bersih dan boleh baharu di Pahang, negeri tersebut sedang menilai dasar-dasar yang berkaitan dengan tenaga boleh baharu. 

 

Baginda menambah bahawa satu dasar negeri yang menyeluruh, jelas dan telus serta kerangka kawal selia diperlukan untuk memudahcara pembangunan ladang solar secara lestari. 

 

Mohd Izani berkata, pihaknya percaya sepenuhnya bahawa penjanaan tenaga bersih seperti solar akan memainkan peranan utama dalam memacu agenda peralihan tenaga negara dan negeri Pahang, serta kita boleh mencapai keseimbangan antara membangunkan ekonomi dan menyokong sasaran sifar bersih. 

 

"Menerusi kerjasama dengan Enggang Holdings dalam membangunkan kilang solar ini, kita bukan sahaja menyumbang terhadap sasaran tenaga boleh baharu Pahang, tetapi juga mengukuhkan lagi komitmen syarikat terhadap inisiatif kelestarian dan hijau," katanya. - DagangNews.com