UEM Sunrise hulur sumbangan bekalan makanan kepada penduduk Kg Segambut Dalam | DagangNews Skip to main content

UEM Sunrise hulur sumbangan bekalan makanan kepada penduduk Kg Segambut Dalam

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah (dua dari kanan) memerhati kakitangan syarikatnya menyediakan bantuan bekalan makanan untuk penduduk Kg Segambut Dalam, minggu lepas.

 

KUALA LUMPUR 13 Julai – UEM Sunrise Berhad telah menyumbang dan mengagihkan bekalan makanan kepada 250 buah keluarga yang menetap di Kampung Segambut Dalam, salah satu Kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

 

Ini merupakan usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) prihatin UEM Sunrise yang terkini dalam usaha memberi bantuan kepada golongan dan komuniti yang terjejas oleh pandemik COVID-19. Kampung Segambut Dalam juga terletak berhampiran dengan beberapa projek pembangunan UEM Sunrise seperti Residensi Sefina, Allevia Mont’Kiara dan Kiara Kasih.

 

Oleh kerana penduduk Kampung Segambut Dalam tidak dibenarkan keluar atau masuk ekoran perlaksanaan PKPD di Kawasan tersebut, wakil-wakil daripada UEM Sunrise yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Sufian Abdullah serta Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh serta Jabatan Kebajikan Masyarakat bersama-sama menempatkan bekalan makanan di Bilik Gerakan PKPD Kampung Segambut Dalam untuk proses pengagihan.

 

Mereka juga telah mengagihkan bekalan yang sama kepada 250 keluarga di Kampung Masjid Segambut yang terletak di luar kawasan PKPD.

 

Sufian berkata, beliau amat bersimpati dengan penduduk Kampung Segambut Dalam yang telah terjejas oleh perlaksanaan PKPD ini.

 

“Amatlah penting untuk kami terus memberikan sokongan kepada komuniti setempat dan saya berharap agar sumbangan ini dapat meringankan beban mereka. Sebagai entiti korporat, kami akan terus membantu komuniti yang terjejas termasuk petugas barisan hadapan dalam tempoh yang sukar ini selaras dengan nilai-nilai teras C.H.I.E.F. kami,” kata beliau dalam kenyataan di sini.

 

Pada 25 Jun, Majlis Keselamatan Negara telah mengumumkan penguatkuasaan PKPD bagi dua Kawasan di Kuala Lumpur termasuk Kampung Segambut Dalam dari 26 Jun sehingga 9 Julai.

 

uem sunrise
PETUGAS UEM Sunrise menyediakan bekalan makanan untuk disumbangkan kepada penduduk Kg Segambut Dalam, Kuala Lumpur minggu lalu.

 

Sebelum ini, UEM Sunrise telah melaksanakan dua program sempena bulan Ramadan dan perayaan Aidilfitri yang melibatkan pengagihan barang-barang keperluan kepada komuniti Orang Asli Kampung Simpang Arang di Gelang Patah, Johor pada bulan April dan sumbangan wang tunai kepada Pertubuhan Rumah Anak Yatim Nur Kasih Bestari di Kajang, Selangor pada bulan Mei yang lalu.

 

Pada tahun lepas, UEM Sunrise telah menyumbang kepada Malaysian Relief Agency dan Persatuan Bulan Sabit Merah Johor serta Hospital Kuala Lumpur untuk pembelian peralatan perlindungan diri (PPE), pelitup muka, peralatan perubatan dan sebuah alat bantuan pernafasan.

 

Pada masa yang sama, barangan runcit telah diagihkan kepada 300 buah keluarga di Johor dengan kerjasama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dan Pejabat Daerah Johor Bahru. - DagangNews.com