UEM Sunrise jual 72 tanah bernilai RM434.3 juta kepada AME Elite Consortium | DagangNews Skip to main content

UEM Sunrise jual 72 tanah bernilai RM434.3 juta kepada AME Elite Consortium

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Okt. - UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) bakal menjual 72 bidang tanah miliknya di Iskandar Puteri, Johor kepada anak syarikat AME Elite Consortium Berhad (AME).

Langkah itu dilakukan menerusi anak syarikat UEM Sunrise iaitu UEM Land Berhad (UEM Land) dan anak syarikat milik tidak langsung, Nusajaya Heights Sdn Bhd (NHSB).

Kedua-duanya telah menandatangani dua perjanjian ‘Heads of Agreement’ (HOA) hari ini dengan dua anak syarikat AME.

HOA pertama dilaksanakan dengan Pentagon Land Sdn. Bhd. (Pentagon) dan Greenhill SILC Sdn. Bhd. (Greenhill), manakala HOA kedua ditandatangani dengan Pentagon.

UEM Sunrise menerusi pengumuman syarikat di Bursa Malaysia berkata, HOA itu melibatkan penjualan tanah Fasa 3 Kluster Perindustrian dan Logistik Selatan (SILC) bernilai RM434.3 juta.

“AME dan anak syarikatnya pakar dalam bidang pembinaan kilang besar serta pembangunan kawasan perindustrian. UEM Sunrise pula merupakan pemilik tanah dan pemaju utama Iskandar Puteri di Johor. 

“Antara pemangkin pembangunan di bawah Pelan Induk Pembangunan Iskandar Puteri adalah pembangunan taman perindutrian bersepadu. Fasa SILC 1 dan 2 telah terjual. 

“Bagi Fasa 3, UEM Sunrise membuat keputusan untuk bekerjasama dengan AME dan membangunkannya menjadi tapak perindustrian bersepadu. Ini membolehkan UEM Sunrise mengewangkan (monetise) tapak itu pada kadar yang pantas berbanding penjualan plot individu,” kata UEM Sunrise. 

Rundingan antara kedua-dua pihak telah bermula dengan Perjanjian Definitif.

HOA pertama melibatkan perjanjian Jual Beli (SPA) 1 dan 2. SPA 1 melibatkan penjualan 35 tanah perindustrian bukan Bumiputera bernilai RM215.3 juta.

SPA 2 pula melibatkan penjualan 34 tanah perindustrian Bumiputera bernilai RM200.8 juta.

Di bawah HOA kedua, terdapat SPA 3 yang melibatkan tiga tanah perindustrian bukan Bumiputera pada nilai RM18.2 juta. 

“HOA yang ditandatangani akan sah selama 30 hari dari tarikh pelaksanaan atau pada tarikh yang ditetapkan secara bertulis oleh semua pihak,” tambah UEM Sunrise. - DagangNews.com