UEM Sunrise naik taraf aplikasi hartanah hUb Prop dengan inisiatif ESG | DagangNews Skip to main content

UEM Sunrise naik taraf aplikasi hartanah hUb Prop dengan inisiatif ESG

Pengarah Inovasi Digital & Teknologi UEM Sunrise, Hasniza Mohamed, Sufian Abdullah dan Ketua Pegawai Pemasaran UEM Sunrise, Kenny Wong menunjukkan aplikasi mudah alih hUb Prop yang dipertingkatkan semasa acara pembukaan di Galeri Jualan Kiara Bay, Kuala Lumpur pada 11 Januari 2024.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Jan - Pemaju hartanah, UEM Sunrise memperkenalkan aplikasi mudah alih hUb Prop yang dinaik taraf, yang mana berfungsi sebagai saluran layan diri untuk pengguna mendapatkan perkhidmatan dan maklumat terpilih tentang pemaju tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, pihaknya sentiasa mengutamakan pendigitalan, selain komited untuk memperkenalkan rumusan termaju untuk pelanggan.

 

"Ini termasuk membina aplikasi yang membantu pelabur hartanah serta pemilik rumah dalam menavigasi perjalanan pemilikan rumah mereka dengan mudah dan efisien," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Menurut Sufian, pihaknya adalah pemaju hartanah pertama yang menggabungkan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam aplikasi mudah alih. 

 

"Kerjasama kami dengan kempen 'Plant the Future' Sireh Park adalah bukti komitmen UEM Sunrise terhadap biodiversiti dan pemuliharaan alam sekitar," katanya.

 

Sementara itu, UEM Sunrise berkata, aplikasi itu juga menawarkan ganjaran eksklusif, pelancaran produk, acara terkini, kempen/promosi jualan, lawatan maya, memantau pembayaran, melihat kemajuan projek, penjadualan penyerahan kunci dan pengurusan kerosakan.

 

Katanya, penambahbaikan ciri-ciri aplikasi tersebut, termasuk antara muka (interface) mesra pengguna dan ciri intuitif melengkapkan kaedah pemasaran tradisional hartanah dengan menyediakan kebolehcapaian 24/7, fungsi mengubah-corak ESG, penawaran produk dan perkhidmatan.

 

 

uem sunrise

 

 

"Seiring dengan penambahbaikan tersebut, aplikasi ini juga menawarkan pelbagai perkhidmatan yang direka bagi membantu meningkatkan perjalanan pembelian rumah. 

 

"Pelanggan mempunyai akses eksklusif kepada ganjaran dan keistimewaan melalui program kesetiaan pelanggan UEM Sunrise, Trésor," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, inisiatif itu juga merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat untuk mengiktiraf komuniti Trésor, yang menyumbang dengan ketara kepada jualan syarikat pada 2023 iaitu 34% daripada jumlah jualan. 

 

Katanya, program Trésor berkembang merangkumi lebih daripada 30 peniaga dan jenama, menawarkan perkhidmatan seperti pakej reka bentuk dalaman, kelengkapan rumah, jaminan rumah, bantuan rumah kecemasan, langganan dan pemilikan panel solar.

 

Aplikasi hUb Prop boleh dimuat turun dari App Store IOS dan Google PlayStore bermula pada 12 Januari 2024. - DagangNews.com