UEM Sunrise rangkul Anugerah "Sangat Dipuji" SBA Malaysia 2020/2021 | DagangNews Skip to main content

UEM Sunrise rangkul Anugerah "Sangat Dipuji" SBA Malaysia 2020/2021

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Okt. - UEM Sunrise Bhd merangkul Anugerah "Sangat Dipuji" di bawah kategori Organisasi Besar di Anugerah Perniagaan Lestari (SBA) Malaysia 2020/21. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, anugerah yang pertama kali diterima itu meningkatkan lagi komitmen syarikat dalam usaha mencapai pembangunan lestari sejajar dengan tonggak utama yang merangkumi amalan persekitaran, tanggungjawab sosial, dan tadbir urus korporat (ESG).

 

"Selari dengan misi kami iaitu 'Membangun komuniti masa depan, bersama anda dan untuk anda', amalan mesra alam dan nilai berorientasikan ESG selalu menjadi tumpuan utama kami dalam membuat keputusan perniagaan.

 

"Kami akan membuat langkah berterusan dalam usaha mengaplikasikan amalan ESG yang holistik dan lestari dalam produk kami," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, melangkah ke hadapan, syarikat mempunyai rancangan yang luas untuk meningkatkan penawaran produk lestari dari segi fleksibiliti ruang dan kecekapan kos serta prosesnya sebagai sebahagian daripada usahanya untuk memberikan rantaian nilai yang mampan untuk pihak berkepentingan dan pelanggannya. 

 

"Kami akan terus mencipta momentum ke arah mencapai misi untuk masa depan yang lebih baik dan lestari," katanya.

 

SBA bertindak sebagai platform untuk menuju masa depan yang lestari, mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada syarikat yang menunjukkan usaha yang konsisten dalam pelbagai bidang kelestarian melalui proses penilaian yang komprehensif yang dikembangkan oleh pasukan antarabangsa. -DagangNews.com