UEM Sunrise, Sunway antara penerima manfaat besar projek pembangunan baharu di Johor - RHB Investment | DagangNews Skip to main content

UEM Sunrise, Sunway antara penerima manfaat besar projek pembangunan baharu di Johor - RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Okt - RHB Investment menjangkakan UEM Sunrise Berhad dan Sunway Berhad menjadi antara penerima manfaat besar daripada projek pembangunan baharu di Johor.

 

Firma penyelidikan itu berkata, projek yang hampir dengan Sistem Transit Rapid Singapura-Johor Bahru (RTS Link) akan terus menyaksikan permintaan yang kukuh, dan kuasa perbelanjaan pengguna yang dipacu dolar Singapura dijangka mempunyai kesan limpahan positif ke atas sektor runcit, hospitaliti dan pemain hartanah lebih jauh dari pusat bandar dari semasa ke semasa.

 

Katanya, jumlah pelawat dari Singapura telah meningkat dengan ketara, terutamanya selepas pembukaan semula sempadan selepas pandemik pada April 2022.

 

Ia berkata selain sektor runcit, bidang perbelanjaan utama termasuk makanan dan minuman, kesihatan dan kecantikan serta penyelenggaraan kereta dan pada masa sama ejen hartanah menerima semakin banyak pertanyaan daripada bakal pembeli Singapura.

 

“Kadar sewa bulanan kondominium di pusat bandar mula meningkat kepada RM5,000 seunit daripada RM2,500, apabila sempadan dibuka semula, setanding kadar sewa di Kuala Lumpur.

 

“Beberapa pengendali Airbnb juga telah menyatakan bahawa kadar penghunian unit di bawah pengurusan telah meningkat kepada 70% hingga 80% secara purata tahun-setakat ini,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, fasa pertama projek W City @ JGCC akan membuat penampilan sulungnya antara satu hingga dua bulan.

 

Katanya, dengan harga jualan purata RM900 sekaki persegi (sebelum diskaun), pemaju projek itu telah mendapat kelulusan kerajaan untuk menjual unit berharga melebihi RM400,000 setiap satu kepada warga asing.

 

"Kami fikir ia dapat menarik minat yang kuat daripada pembeli tempatan dan antarabangsa, memandangkan konsep, susun aturnya dan, lebih penting lagi, jarak dekat ke RTS," katanya.

 

Firma itu mengekalkan penarafan 'overweight' untuk sektor itu. - DagangNews.com