UEM Sunrise untung, EcoWorld rugi - Kenanga | DagangNews Skip to main content

UEM Sunrise untung, EcoWorld rugi - Kenanga

Penggabungan EcoWorld dengan UEM Sunrise boleh menyebabkan syarikat hilang status penyenaraian di Bursa Malaysia.

ZUNAIDAH ZAINON
editor@dagangnews.com


KUALA LUMPUR 6 Okt. - Langkah penggabungan antara dua syarikat hartanah terkenal di negara ini yang berlegar-legar sejak semalam menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penganalisis mengenai kedudukan syarikat ini pada masa hadapan. 

Apa yang pasti, UEM Sunrise Bhd. yang banyak terlibat dalam projek kediaman bertingkat mewah termasuk di Australia dilihat akan meraih manfaat jika cadangan penggabungan ini direalisasikan manakala Eco World Development Group Bhd. (EcoWorld) yang terkenal dengan jenama pembangunan perbandaran ikonik, EcoMajestic pula akan sedikit 'terpinggir'.

Penganalisis Kenanga Investment Bank Bhd., Lum Joe Shen mempersoalkan sejauh mana rasional EcoWorld ke arah penggabungan tersebut memandangkan langkah itu akan menyebabkan pemegang saham utama hilang hak pemilikan majoriti, status penyenaraian, hilang jenama yang dimilikinya dan kurang efisien dari segi membuat keputusan. 

"Cadangan ini sebenarnya lebih positif kepada UEM Sunrise kerana kekuatan yang dimiliki EcoWorld dalam pemasaran dan perancangan perbandaran dapat membantu meningkatkan jualan dan mampu mengurangkan pendapatan yang tidak menentu menerusi jualan hartanah di luar negara. 

"Namun, bagi pihak EcoWorld pula, antara sebab kukuh yang membawa kepada penggabungan ini pula kemungkinan pemegang saham utamanya bimbang mengenai prospek sektor hartanah dan ekonomi pada masa hadapan, justeru, mereka mahu mendapat manfaat daripada pemegang saham yang lebih besar (iaitu Khazanah Nasional Bhd. menerusi UEM Group Bhd.)," katanya dalam nota kajian hari ini. 

UEM Sunrise dikenali sebagai pemaju bagi kediaman bertingkat mewah.
UEM Sunrise dikenali sebagai pemaju bagi kediaman bertingkat mewah.

 

Semalam UEM Group mencadangkan anak syarikatnya, UEM Sunrise bergabung dengan EcoWorld menerusi pertukaran saham dan waran yang akan menyaksikan kumpulan tersebut akan memberi tumpuan dalam pembangunan hartanah di Malaysia dan rancangan pembangunan tanah milik UEM Sunrise di luar negara.

Kedua-dua pihak mempunyai tempoh sehingga 30 Oktober ini untuk memuktamadkan langkah penggabungan ini. 

Bagaimanapun, Joe Shen berpendapat, tidak kesemua tanah milik UEM Sunrise mampu memenuhi standard pembangunan EcoWorld memandangkan syarikat hartanah itu lebih tertumpu kepada perancangan perbandaran, yang memerlukan tanah lebih luas.  

Berdasarkan analisisnya, hanya dua kawasan sahaja memenuhi standard pembangunan EcoWorld iaitu tanah berkeluasan 3,642 hektar di Johor manakala 971.25 hektar di Perak yang mana ia turut menimbulkan persoalan sama ada EcoWorld akan dilayan dengan lebih baik menerusi struktur kerjasama yang mudah. 

"UEM Sunrise sebelum ini pernah membentuk kerjasama dengan Gamuda Bhd., Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK) dan Mulpha International Bhd. manakala EcoWorld pula dilihat tidak tergesa-gesa untuk membangunkan bank tanahnya seluas 687.96 hektar di Johor.

"Walau apapun, cadangan ini memberi kelebihan kepada UEM Sunrise berbanding EcoWorld, dan UEM Group mungkin perlu menyediakan insentif tambahan kepada EcoWorld menerusi penggabungan ini," katanya. 

Dalam pada itu, menurut laporan The Edge, Pengerusi UEM Sunrise, Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin berkata, cadangan itu bukan satu Langkah menyelamat sebaliknya bagi menggabungkan kekuatan kedua-dua syarikat hartanah tersebut. 

“Ini terutama dari segi bank tanah yang dimiliki UEM Sunrise dan EcoWorld, keupayaan dan rekod baik kedua-dua syarikat, dapat membentuk sebuah pemaju hartanah yang kukuh dan mampu memberi manfaat kepada pemegang saham dan pembeli hartanah,” katanya. 

Malah, beliau berkata, sebelum ini terdapat beberapa langkah penggabungan pemaju hartanah di rantau ini, antaranya China, Thailand dan India bagi membentuk pemain yang lebih kukuh, mampu menjana pulangan dan margin yang lebih tinggi. 

"Tambahan pula, pasaran hartanah Malaysia berdepan cabaran besar terutama hartanah tidak terjual dalam hampir kesemua segmen sejak akhir-akhir ini. Situasi ini diburukkan lagi dengan pandemik COVID-19 yang belum berakhir. Jadi, melihat kepada situasi ini, ia adalah langkah tepat untuk melaksanakan penggabungan," katanya. 

Setakat 3.10 petang ini, saham UEM Sunrise naik 1.28 peratus kepada 39.5 sen dengan nilai pasaran modal RM1.63 bilion manakala EcoWorld pula susut 2.44 peratus kepada 40 sen dengan nilai pasaran modal RM1.16 bilion. - Dagangnews.com