KUALA LUMPUR 23 Feb - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menerima anugerah perak pada Majlis Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA) 2023, sekali gus menjadi universiti awam pertama meraih anugerah tersebut yang berlangsung baru-baru ini.
Rektor UIAM, Prof Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, ia bagi memberikan pengiktirafan dan penghargaan kepada sektor awam dan swasta yang menzahirkan komitmen dalam pembudayaan dan pengamalan integriti, tadbir urus terbaik serta inisiatif antirasuah dalam organisasi mereka.
Katanya, anugerah itu sebagai satu etikad UIAM dalam mengamalkan budaya kerja yang baik dan berintegriti serta menolak sebarang unsur-unsur rasuah dalam semua bidang pengurusan dan akademik.
"Anugerah ini amat bermakna buat UIAM kerana ia membuktikan universiti sentiasa komited menolak sebarang unsur-unsur rasuah dan mengamalkan budaya kerja berintegriti dan tatakelola governans yang baik.
"Ia juga adalah selaras dengan wawasan UIAM tentang beramanah tanpa kompromi.
"Budaya kerja yang baik dan berintegriti juga adalah dituntut di dalam agama dan sebagai salah sebuah universiti Islam kita perlu memberikan contoh yang baik serta mengamalkan sikap beramanah dan berintegriti," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Pada majlis itu, Dzulkifli menerima anugerah tersebut bagi pihak UIAM yang disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Seri Akhbar Abdul Sata @ Satar.
Menurut kenyataan itu, pada 2022, buat julung kalinya IIM memperkenalkan AIGA di seluruh negara sebagai satu mekanisme untuk mengukur usaha dan keberkesanan inisiatif integriti dan tatakelola dalam sesebuah organisasi.
"Matlamat AIGA adalah memberi pengiktirafan dan penghargaan atas usaha yang telah dilakukan oleh agensi-agensi dalam menambahbaik lanskap dan ekosistem integriti, governans dan antirasuah dalam semua industri di Malaysia," katanya.
Selain itu katanya, ia menyerlahkan keupayaan, kemampuan, komitmen, kesungguhan sektor swasta dan awam dalam usaha pelaksanaan sistem kawalan dalaman khususnya mencegah risiko rasuah, integriti, tatakelola serta mewujudkan persaingan sihat dalam kedua-dua sektor itu dalam pembudayaan integriti, tatakelola dan antirasuah. - DagangNews.com