UiTM Holdings tandatangani perjanjian solar 21 tahun dengan Ingress | DagangNews Skip to main content

UiTM Holdings tandatangani perjanjian solar 21 tahun dengan Ingress

Pengerusi IPSB, Datuk Dr. Ab Wahab Ismail (tiga dari kiri) bersama Pengarah UEFSB, Norzaimah Maarof (empat dari kiri) menunjukkan dokumen perjanjian solar yang ditandatangani semalam. Turut kelihatan, Pengarah UHSB, Datuk Dr. Aminar Rashid Salleh (dari kiri); Pengerusi ITSB, Datuk Dr. Rameli Musa dan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UiTM dan Pengarah UEFSB, Prof. Datuk Ts Dr. Mohd. Fozi Ali (dari kanan) dan Pengerusi UHSB, Datuk Md Zubir Ansori Yahaya.

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 1 April - UiTM Energy & Facilities Sdn Bhd (UEFSB) menandatangani perjanjian pembelian tenaga solar (SPPA) selama 21 tahun dengan Ingress Technologies Sdn Bhd (ITSB) dan Ingress Precision Sdn Bhd (IPSB).

 

UEFSB adalah anak syarikat milik penuh UiTM Holdings Sdn. Bhd. (UHSB) yang berperanan sebagai syarikat pelaburan milik Universiti Teknologi Mara (UiTM).

 

Di bawah perjanjian itu, UEFSB akan melabur dan membangunkan kemudahan penjanaan tenaga solar dengan jumlah kapasiti masing-masing sebanyak 897.26kWp dan 1224.86kWp di IPSB dan ITSB. 

 

Perjanjian itu yang ditandatangani semalam diwakili oleh Pengarah UEFSB, Norzaimah Maarof; Pengerusi ITSB, Datuk Dr. Rameli Musa dan Pengerusi IPSB, Datuk Dr. Ab Wahab Ismail.

 

Pemasangan kemudahan penjanaan tenaga solar dalam ITSB dan IPSB dijangka dapat mengurangkan perbelanjaan tenaga mereka dengan ketara melalui skim Net Energy Metering (NEM), serta mengurangkan jejak karbon untuk menyokong Agenda Tenaga Diperbaharui Negara.

 

Secara kumulatif, kemudahan tersebut mampu menghindari 42,699 tan pelepasan karbon dioksida, yang bersamaan dengan penanaman 50,000 pokok. 

 

UEFSB akan melaksanakan 100% pelaburan sebagai sebahagian daripada inisiatif syarikat untuk mengembangkan
pasaran tenaga yang boleh diperbaharui.

 

Pengerusi UHSB, Datuk Md Zubir Ansori Yahaya berkata, projek ini diharapkan menjadi yang pertama di antara
projek yang sejajar dibangunkan oleh Kumpulan Syarikat UHSB. 

 

Katanya, SPPA swasta akan menjadi lebih tipikal pada masa akan datang dan penerimaan terhadap teknologi hijau terutama solar akan memastikan kemajuan syarikat dalam sektor ini.

 

"Ini juga selari dengan saranan kerajaan untuk mencapai 20% tenaga elektrik negara dijana daripada sumber yang boleh diperbaharui menjelang 2025 dan tepat pada masanya untuk kita menjadi aktif dalam matlamat kelestarian negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

UHSB merancang untuk muncul salah satu pengeluar janakuasa tenaga yang boleh diperbaharui di negara ini dan mahu mengembangkan portfolionya.

 

Selain memiliki dan mengendalikan 2 setesen janakuasa solar berskala besar, syarikat juga membangunkan kemudahan penjanaan solar di kampus UiTM. 

 

Syarikat juga terus mempelopori sektor tenaga yang boleh diperbaharui selepas menandatangani 7 SPPA dengan UiTM pada November 2020 untuk membangunkan dan membekalkan sejumlah 11.057MW kemudahan penjanaan tenaga solar di 7 kampus UiTM di Dungun, Permatang Pauh, Jengka, Kuala Pilah, Alor Gajah, Segamat dan Bertam. 

 

UHSB kini berada dalam proses pelaksanaan projek Pengoptimuman Tenaga dan Solar Rooftop (EORS) di 35 kampus UiTM di seluruh negara yang dijangka siap pada suku akhir 2023. 

 

UiTM berpotensi mengekalkan penjimatan sehingga 30% daripada perbelanjaan tenaga tahunannya setelah projek tersebut selesai.

 

UHSB juga memiliki Stesen Janakuasa Solar Berskala Besar 50MW di Gambang, Pahang dan 25 MW di Pasir Gudang, Johor yang telah memulakan operasi masing-masing pada 5 Mac 2019 dan 2 Disember 2020. 

 

Jumlah penjanaan tenaga sebanyak 75MWac daripada kedua-dua stesen itu mampu menguasai lebih 33,000 rumah dan menghindarkan 84,000 tan pelepasan CO2 setiap tahun. 

 

Kedua-dua stesen ini menjana sejumlah 120,000MWh tenaga bersih setahun dan mampu menghasilkan sebanyak RM965 juta dalam tempoh 21 tahun.

 

Sementara itu, Rameli yang juga Naib Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ingress Corporation Berhad berkata, dalam era globalisasi dan saling bergantungan antara satu sama lain ini, kerjasama dengan pakatan strategik akan lebih membantu kumpulan lebih berdaya saing dan mengukuhkan keupayaan untuk terus maju ke hadapan.

 

"Pandemik COVID-19 telah memberi impak ekonomi yang besar di seluruh dunia, dan kami di Ingress tidak
terkecuali daripadanya. 

 

"Kami mengambil peluang ini untuk mengubah organisasi, proses dan budaya kerja kami dan memupuk norma-norma baharu dalam perniagaan dan operasi kami dan ini termasuk projek Solar Rooftop," katanya. - DagangNews.com