KUALA LUMPUR 24 Mac - United Kingdom (UK) bersetuju untuk bekerjasama lebih erat dengan Malaysia dalam usaha membasmi isu buruh paksa secara holistik.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, persetujuan itu diputuskan ketika pertemuannya dengan Pesuruhjaya UK, Andrew Patrick dalam siri lawatan kerjanya ke London, sejak semalam.
Beliau berkata, Andrew menzahirkan penghargaan UK terhadap inisiatif yang telah diambil oleh Malaysia serta mengucapkan tahniah kepada kerajaan di atas komitmen yang ditunjukkan terutamanya dalam meratifikasi Protokol Pertubuhan Buruh Antarabangsa berhubung buruh paksa (Protokol 29).
"Beliau bersetuju bahawa isu buruh paksa ini berkait rapat dengan migrasi dan bersedia untuk menjalinkan kerjasama yang lebih erat ke arah membasmi buruh paksa secara holistik.
"Pihak UK juga menyambut baik cadangan saya untuk memasukkan perbincangan berhubung migrasi dan buruh paksa sebagai salah satu agenda tetap dalam Dialog Strategik UK-Malaysia yang dilaksanakan setiap tahun bermula tahun ini. Saya akan mengutarakan cadangan ini dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang akan datang.
"Saya percaya usaha ini akan membuahkan hasil yang positif kerana isu migrasi dan buruh paksa perlu ditangani melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saravanan berkata, dalam pertemuan itu beliau telah berkongsi inisiatif kerajaan untuk menangani isu buruh paksa yang dikaitkan dengan penghasilan produk syarikat Malaysia.
"Ini termasuklah pindaan dan penguatkuasaan akta perburuhan, Pelan Tindakan Nasional berhubung Buruh Paksa (NAPFL), aplikasi mudah alih Working for Workers, cadangan pelaksanaan eWages dan latihan induksi wajib kepada pekerja warga asing setibanya mereka di Malaysia.
"Dalam hal ini, Kerajaan UK mengambil pendekatan yang agak berbeza dengan sekatan eksport yang dikenakan oleh Kerajaan Amerika Syarikat di mana pihak Kerajaan UK lebih menekankan kepada tindakan pencegahan dan pembetulan yang boleh diambil oleh syarikat yang terlibat dalam amalan buruh paksa," katanya.
Katanya, UK juga telah mengenakan tindakan keras ke atas syarikat yang dikenal pasti mengamalkan buruh paksa dalam rantaian bekalan mereka. - DagangNews.com