KUALA LUMPUR 22 Ogos - UKM Graduate School of Business (UKM GSB) membantu anak-anak kurang bernasib baik di bawah Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Imán Malaysia (PERNIM) melalui Projek Larian Amal ‘Run For Hope’.
Seramai 40 anak-anak akan dibantu yang mana hasil kutipan derma akan disalurkan bagi penambahbaikan infrastruktur dan renovasi rumah kebajikan tersebut.
PERNIM merupakan pertubuhan untuk membantu memperjuangkan nasib pesakit HIV/AIDS, anak yatim, anak tanpa kerakyatan, anak Orang Asli, anak luar nikah dan anak-anak terbiar di Malaysia.
Larian yang disertai seramai 200 orang peserta ini diadakan di Taman Botani, Shah Alam merupakan program yang julung kali diadakan oleh UKM GSB.
Menurut Pengarah Projek Larian Amal Run For Hope, Aiswarya Gobu, hasil kutipan juga akan digunakan untuk tujuan perubatan dan pelajaran anak-anak tersebut.
Katanya, selain membantu mereka, penganjuran larian ini juga bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai golongan yang kurang bernasib baik yang amat memerlukan bantuan masyarakat.
"Ramai yang masih kurang tahu mengenai kewujudan PERNIM.
"Sehubungan dengan itu, diharap dengan penganjuran larian amal ini bukan sahaja dapat menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan peserta larian, malah turut sama dapat menghebahkan dan memberi kesedaran mengenai anak-anak yang memerlukan bantuan," katanya dalam kenyataan media di sini.
Pengasas PERNIM, Norlina Alawi berkata, penganjuran program ini banyak membantu PERNIM dalam usaha menjaga kebajikan dan keperluan asas anak-anak di rumah kebajikan ini.
Beliau berharap lebih banyak agensi, organisasi atau badan korporat di luar sana dapat melaksanakan kerjasama atau program tangggungjawab sosial korporat (CSR) bersama-sama PERNIM dalam membina kesedaran yang lebih luas kepada golongan masyarakat mengenai kewujudan anak-anak yang memerlukan perhatian dan bantuan orang awam. - DagangNews.com