KUALA LUMPUR 15 Sept - UMediC Group Berhad berhasrat untuk terus mengembangkan perniagaan kumpulan dengan menceburi bidang pembekalan makmal termasuk peralatan makmal dan bahan pakai buang.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Berhad berkata, sebagai permulaan, kumpulan itu akan fokus kepada pengedaran peralatan makmal dan selepas itu meneroka pembuatan bahan pakai buang berasaskan air dan berasaskan kimia.
Katanya, kaedah itu dijangka memberikan aliran tunai baharu kepada hasil kumpulan bagi.
"Kami difahamkan kumpulan itu sudah memulakan perbincangan bersama pihak yang terlibat.
"Pihak pengurusan kumpulan juga menjangkakan perniagaan baharu itu tidak memerlukan perbelanjaan modal yang besar dan UMediC boleh memanfaatkan kemudahan sedia ada untuk pembuatan bahan guna makmal," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, kumpulan itu telah mengkomersialkan produk jenama sendiri kedua iaitu AirdroX spacer, pada akhir Jun 2022 dan sejak memasuki pasaran, produk berkenaan berjaya menjana pendapatan sebanyak RM0.36 juta pada 4QFY22 dengan jualan sebanyak 30,000 unit.
Katanya, harga purata jualan (ASP) untuk AirdroX spacer adalah RM30 setiap satu dan buat masa sekarang ia dibekalkan kepada hospital dan farmasi.
"Memandangkan pendekatan berbeza digunakan untuk pengeluaran AirdroX spacer (komponen dibuat di luar dan pemasangan dibuat secara dalaman), kami percaya adalah lebih mudah untuk meningkatkan pengeluaran AirdroX," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham UMediC dengan harga sasaran (TP) 81 sen. - DagangNews.com