UMK, PSA dan KKSP menang Anugerah Keusahawanan AKKPT21 | DagangNews Skip to main content

UMK, PSA dan KKSP menang Anugerah Keusahawanan AKKPT21

 

PUTRAJAYA 22 Dis - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) memenangi anugerah institusi terbaik keusahawanan bagi kategori universiti pada Anugerah Keusahawanan Kementerian Pengajian Tinggi 2021 (AKKPT21).

 

Sementara itu, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) pula dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori politeknik dan Kolej Komuniti Sungai Petani (KKSP) bagi kategori kolej komuniti.


 

kksp
Wakil Kolej Komuniti Sungai Petani (KKSP) yang memenangi hadiah utama kategori kolej komuniti AKKPT21 pada 21 Disember 2021.

 


Buat julung kalinya AKKPT21 mendapat kerjasama strategik dengan agensi lain dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), bertindak sebagai ketua penyelaras bagi Jawatankuasa Kerja Penilaian Anugerah.

 

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, di sebalik cabaran getir pandemik COVID-19 yang membataskan pergerakan ramai pihak, penganjuran AKKPT 21 telah berjaya menarik 133 penyertaan dari universiti awam, IPT swasta, politeknik kolej komuniti.

 

Lima kategori dipertandingkan iaitu Institusi Terbaik Keusahawanan, Perusahaan Pelajar Terbaik, Perusahaan Graduan Terbaik, Mentor Usahawan Terbaik dan Projek Usahawan Sosial Terbaik.

 

Menurut beliau, AKKPT yang dahulunya dikenali sebagai ‘Ministry of Education Entrepreneurial Awards’ (MEA) mula diperkenalkan sejak 2011.

 

''Anugerah ini merupakan platform pengiktirafan tertinggi kementerian terhadap komitmen jitu dan usaha tanpa jemu institusi-institusi pendidikan tinggi, tenaga pengajar, para pembimbing, pelajar dan graduan, untuk memperkasakan agenda keusahawanan di IPT, selain meningkatkan persaingan sihat dan menyuburkan semangat keusahawanan,'' katanya.

 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis Anugerah Keusahawanan Kementerian Pengajian Tinggi 2021 (AKKPT21), di sini malam tadi.


 

NorainiAhmad
Datuk Seri Dr Noraini Ahmad

 


Noraini berkata, usaha menyokong agenda keusahawanan di institusi pengajian tinggi (IPT) akan dipergiatkan di semua peringkat, bagi melahirkan lebih ramai usahawan berkemahiran tinggi.

 

Beliau berkata, usaha itu akan melahirkan lebih banyak syarikat pemula yang ditubuhkan oleh pelajar, serta mampu bersaing di pasaran yang lebih kompetitif dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

Menurutnya,  usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperkasakan agenda keusahawanan di IPT mencapai kejayaan membanggakan, antaranya Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2021-2025 dan Garis Panduan Pendidikan Keusahawanan Bersepadu, sebagai rujukan utama IPT dalam iltizam melahirkan lebih ramai usahawan pelajar dan usahawan graduan.

 

Noraini berkata, inisiatif GetHired@KPT memberi peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan ditawarkan kepada graduan, melalui program pemahiran semula dan peningkatan kemahiran serta keusahawanan.

 

“KPT menyasarkan seramai 18,611 orang graduan menerima manfaat daripada inisiatif ini. Dan, Alhamdulillah, sehingga 13 Disember2021, sejumlah 17,727 graduan atau 95.25% daripada jumlah yang disasarkan, telah menerima penempatan pekerjaan dan menjana pendapatan di bawah inisiatif ini,” katanya.

 

Noraini berkata, sepanjang 2016 hingga 2020, seramai 178,830 orang pelajar pula telah direkodkan menjalankan perniagaan semasa tempoh pengajian.

 

“Daripada jumlah tersebut, 29,755 atau 16.63% graduan meneruskan kerjaya mereka sebagai usahawan selepas menamatkan pengajian.

 

''Terkini, pencapaian setakat separuh penggal 2021 menunjukkan bahawa siswa yang terlibat dalam aktiviti keusahawanan telah mencecah angka 52,377 orang,” katanya. - DagangNews.com