UMW dijangka raih pendapatan kukuh pada 1Q21 | DagangNews Skip to main content

UMW dijangka raih pendapatan kukuh pada 1Q21

Perodua Ativa

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 19 April - Syarikat perindustrian automotif, UMW Holdings Berhad (UMW) dijangka meraih pendapatan yang kukuh bagi tempoh suku pertama 2021.

 

CGS-CIMB Research berkata, jangkaan itu dinilai kepada prestasi jualan yang tinggi yang disumbangkan oleh UMW-Toyota (UMWT) dan Perodua.

 

"UMW-Toyota (UMWT) dan Perodua mencatatkan jumlah jualan yang tinggi pada Mac 2021 susulan pembukaan semula aktiviti ekonomi selepas pelaksanaan PKP 2.0 pada Januari dan Februari 2021.

 

"UMWT dan Perodua masing-masing mencatatkan pertumbuhan jualan sebanyak 61% dan 29% tahun ke tahun pada suku pertama 2021 di sebalik pelancaran model baharu seperti Perodua Ativa, Toyota Vios dan Yaris facelift.

 

"Kumpulan tersebut menjangkakan momentum penjualan akan berterusan pada suku kedua 2021 memandangkan pengecualian cukai jualan dan permintaan yang tertangguh untuk UMWT dan Perodua," jelas CGS-CIMB Research.

 

Dalam nota kajian yang sama, CGS-CIMB Research memberitahu secara keseluruhannya, UMWT dan Perodua mencatatkan jumlah gabungan jualan sebanyak 74,911 unit merangkumi 24% daripada ramalan tahunan kumpulan iaitu sebanyak 309,000.

 

Baru-baru ini, UMWT memperkenalkan dua jenis kenderaan utiliti sukan baharu iaitu Toyota Corolla Cross dan Toyota Harrier.

 

.

 

Kedua-dua model berkenaan berjaya mendapat sambutan pasaran yang positif dan habis terjual dalam tempoh seminggu pertama pelancaran.

 

CGS-CIMB Research memberitahu, kumpulan berkenaan membuat perancangan untuk memulakan proses pemasangan secara tempatan bagi model Corolla Cross yang dijangka bermula pada separuh kedua 2021.

 

"Kami berpendapat bahawa pemasangan secara tempatan (CKD) bagi model Corolla Cross dapat membantu menurunkan harga jualannya daripada RM124,000-RM134,000 kepada harga yang lebih murah sekitar RM120,000.

 

"Ia berikutan pengecualian duti eksais yang lebih tinggi daripada jangkaan peningkatan kandungan tempatan.

 

"Ini akan membolehkan Corolla Cross bersaing dengan lebih baik bersama Honda HR-V sekali gus mendorong peningkatan jualan yang lebih tinggi untuk UMWT," ujar CGS-CIMB Research lagi. - DagangNews.com