Una Brands mahu labur RM100 juta dalam jenama e-dagang Malaysia | DagangNews Skip to main content

Una Brands mahu labur RM100 juta dalam jenama e-dagang Malaysia

 

 

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 2 Dis -  Una Brands, agregator e-dagang tertumpu Asia Pasifik mengintai peluang untuk membuat pelaburan sebanyak RM 100 juta pada tahun hadapan dalam usahanya memperoleh jenama e-dagang tempatan Malaysia, dan mengembangkannya ke peringkat global.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Una Brands, Kiren Tanna berkata, tawaran Una pada asasnya adalah untuk menghilangkan tekanan dalam menaikkan jenaman dan syarikat itu akan membantu meningkatkan jenama itu ke potensi penuhnya di peringkat global. 

 

Katanya, perjanjian di antara Una dengan syarikat e-dagang boleh diselesaikan dalam tempoh enam minggu, dengan struktur tawaran yang fleksibel dan proses penyepaduan yang lancar.

 

"Malaysia merupakan pasaran yang menarik dengan potensi yang sangat besar dan keutamaan untuk Una Brands. 

 

"Kami sedang mencari untuk menggunakan lebih RM100 juta untuk memperoleh jenama tempatan yang kukuh di sini pada tahun hadapan, dan juga mewujudkan Malaysia sebagai hab serantau untuk fungsi operasi dan pertumbuhan utama memandangkan kumpulan bakat yang luar biasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, di bawah Una Brands, jenama boleh memperoleh akses dalaman yang berdedikasi kepada bidang kritikal pengurusan rantaian bekalan dan pemasaran prestasi, serta pengembangan saluran dan geografi. 

 

Katanya, dengan rangkaian penyumberan yang luas dan perkongsian logistik global, ditambah pula dengan pengurusan inventori yang dioptimumkan dan operasi yang diperkemas, Una Brands menyasarkan untuk menyelesaikan cabaran operasi yang dihadapi oleh jenama tempatan, membolehkan mereka menumpukan pada pembangunan produk baharu, penjenamaan dan pengembangan. 

 

"Una Brands memfokuskan pada berbilang platform seperti Amazon, Shopify, Shopee dan Tokopedia, dan mempunyai kehadiran di lapangan di 7 pasaran APAC: Singapura, Malaysia, Indonesia, India, Taiwan, China dan Australia," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Negara Una Brands, Carey Su berkata, pihaknya telah turun padang berjumpa dengan seramai mungkin pemilik jenama tempatan untuk memahami matlamat dan cabaran mereka serta berkongsi cara kami boleh membantu. 

 

"Malaysia mempunyai ramai usahawan yang telah membangunkan produk hebat dengan jenama kukuh yang kita rakyat Malaysia suka," katanya. -DagangNews.com