KUALA LUMPUR 2 Sept - Nestle Malaysia menerusi Nestle Professional menjalinkan kerjasama bersama rangkaian restoran ayam goreng yang popular di Malaysia, Uncle Bob bagi meluaskan makanan berasaskan tumbuhan.
Menerusi kerjasama itu, Uncle Bob akan melancarkan menu bebas daging pertama menampilkan produk berasaskan tumbuhan keluaran Nestlé’s Harvest Gourmet
Tersedia di 89 cawangan Uncle Bob di Sabah, ia bertujuan untuk melayani rakyat Malaysia yang ingin mencuba alternatif daging sambil menikmati rasa tersendiri ayam rangup Uncle Bob.
Menu berasaskan tumbuhan ini akan menggunakan Schnitzel berasaskan tumbuhan Harvest Gourmet dan juga nuget berasaskan tumbuhan dibuat di negara ini menggunakan bahan seperti soya bukan GMO yang menawarkan sumber protein yang tinggi serta serat tanpa menjejaskan rasa dan teksturnya.
Pegawai Eksekutif Perniagaan Nestle Professional, Yit Woon Lai berkata, rankaian makanan berasaskan tumbuhan Harvest Gourmet membolehkan pihaknya memenuhi keperluan pengguna yang semakin menitik beratkan soal kesihatan dan mahu merangkumkan makanan alternatif berasaskan tumbuhan dalam diet harian.
“Sejajar dengan itu, kami teruja untuk bekerjasama dengan Uncle Bob mahu meningkatkan pengambilan makanan berasaskan tumbuhan.
"Uncle Bob bakal menjadi pengendali makanan dan minuman pertama yang menghidangkan menu berasaskan tumbuhan Harvest Gourmet di Sabah dan kami ingin memanfaatkan kerjasama ini untuk bersama-sama meluaskan segmen berasaskan tumbuhan di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pengarah Uncle Bob, Kelvin Ng berkata, pihak berbesar hati kerana dipilih oleh Nestle untuk menjadi sebahagian daripada usaha melancarkan produk berasaskan tumbuhan di Sabah.
“Kita tidak perlu lagi mengembara ke negara-negara lain untuk mencuba makanan berasaskan tumbuhan kerana kita ada pilihan tersebut di Sabah, iaitu dengan mengunjungi Uncle Bob.
"Makanan berasaskan tumbuhan tanpa daging adalah satu kemajuan besar dalam industri makanan di Borneo, dan Uncle Bob berbangga untuk menjadi jenama perintis yang memperkenalkannya di sini," katanya. - DagangNews.com