Uni Wall, Astrom memeterai perjanjian GDV bernilai RM2.5 bilion | DagangNews Skip to main content

Uni Wall, Astrom memeterai perjanjian GDV bernilai RM2.5 bilion

Dato' Dr. Mohamad Rafie Abdul Malek (dua dari kanan) bertukar-tukar memorandum kerjasama dengan  Siow Hon Yuen pada 3 Jun 2022.

KUALA LUMPUR 6 Jun - Uni Wall APS Holdings Bhd melalui syarikat tujuan khasnya dengan NS Corporation iaitu NS Aero City Sdn Bhd (NSAC) memeterai  memorandum kerjasama dengan Astrom Training Solutions Inc bagi  memulakan penyertaan serta usaha sama dalam membangunkan sebahagian daripada Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0). 

 

Firma itu dalam satu kenyataan berkata fasa pertama akan mengambil keluasan kira-kira 200 ekar (80.94 hektar) di MVV 2.0 dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.5 bilion.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Uni Wall, Siow Hon Yuen berkata kerjasama dengan Astrom, salah satu pemain terkemuka dalam industri tiba pada masa yang paling oportunistik dan merupakan satu lagi langkah utama ke ke arah pertumbuhan kumpulan.   

 

"Sebagai pemain yang mantap, Astrom mempunyai pengalaman penting dalam menyediakan penyelesaian latihan dengan teknologi canggihnya.

 

"Ini adalah peluang yang baik bagi kami untuk memanfaatkan perniagaan sedia ada Astrom termasuk rangkaian antarabangsanya yang luas. 

 

"Kami yakin dengan gabungan ini dan dengan sokongan daripada pihak berkuasa kerajaan, kami akan dapat meneruskan agenda kerajaan Negeri Sembilan untuk merangsang ekonomi tempatan dengan menyasarkan pemain industri utama yang mampu memberi impak secara keseluruhan," katanya selepas majlis memeterai memorandum kerjasama dengan Astrom pada 3 Jun lalu.

 

Turut hadir ialah Exco Pelaburan, Industri, Keusahawanan, Pendidikan, Modal Insan Negeri Sembilan,  Dato' Dr. Mohamad Rafie Abdul Malek yang juga Pengerusi NS Corporation.

 

Di bawah kerjasama itu, Astrom akan menganjurkan sekumpulan syarikat bagi mengambil bahagian dalam projek berkenaan serta tetapi tidak terhad kepada pembangunan hartanah dan infrastruktur. Kumpulan tersebut merangkumi syarikat aeroangkasa dari Kanada, Amerika Syarikat, China dan negara-negara lain.

 

Astrom adalah pemain terkemuka dalam menyediakan penyelesaian latihan kepada industri penerbangan yang berdaftar di Kanada dengan anak syarikat di China.

 

Selain itu, NSAC dan Astrom akan bersama-sama melaksanakan dan mewujudkan kerjasama lanjut dalam peluang perniagaan bersama dalam pembangunan bahagian-bahagian tertentu MVV 2.0. 

 

MVV 2.0 adalah koridor pertumbuhan ekonomi yang dimulakan oleh kerajaan Negeri Sembilan, yang diperuntukkan sebagai salah satu daripada 17 zon pembangunan yang dipromosikan dalam Rancangan Fizikal Negara Malaysia.

 

Pembangunan keseluruhan, yang divisikan akan menjadi bandar bersepadu seterusnya di Asia Tenggara melalui pacuan  perkongsian awam-swasta adalah berkeluasan 153,411 hektar meliputi daerah Seremban dan Port Dickson. - DagangNews.com