Unisem tutup kilang di Ipoh, kerugian pengeluaran dijangka pulih cepat - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Unisem tutup kilang di Ipoh, kerugian pengeluaran dijangka pulih cepat - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Julai - Penutupan kilang Unisem (M) Berhad di Ipoh selama dua minggu bakal menyaksikan kelewatan pengeluaran penguat tenaga frekuensi radio (RF) untuk pelanggan utamanya serta program modul pelbagai cip. 

 

Namun, penganalisis di CGS-CIMB Research, Mohd Shanaz Noor Azam tidak menolak kemungkinan Unisem mampu mencatatkan pemulihan daripada kerugian pengeluaran, hanya dalam tempoh beberapa bulan akan datang. 

 

“Dalam pada itu, kami menjangkakan pengeluaran yang lebih kukuh di Unisem Chengdu (China), dipacu oleh permintaan yang lebih kukuh bagi pembungkusan pengurusan tenaga yang masuk ke pusat data, akan membantu mengurangkan penurunan jumlah jualan pada suku ketiga 2021 (3Q21). 

 

“Kami menjangkakan sumbangan hasil dari Unisem Chengdu akan mengatasi Unisem Ipoh dan meliputi 55% hingga 60% daripada hasil tahun kewangan 2021 (FY21) kumpulan,” jelas Mohd Shanaz dalam satu nota kajian. 

 

Semalam, Unisem mengumumkan bahawa kilangnya yang terletak di Ipoh, Perak menutup operasi bermula 25 Julai hingga 8 Ogos 2021 susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). 

 

Baca : Kilang Unisem di Ipoh ditutup sementara sebab PKPD

 

Unisem dijangka menerbitkan keputusan kewangan 2Q21 pada 30 Julai 2021. 

 

Mohd Shanaz berkata, kumpulan dijangka mencatatkan pertumbuhan hasil dua digit berbanding suku tahun sebelumnya dipacu oleh penggunaan yang bertambah baik, didorong oleh aktiviti ‘wafer bumping’ lebih tinggi serta permintaan kukuh untuk pembungkusan tanpa plumbum dan sistem mikro-elektromekanik.

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ saham Unisem dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM10.50 sesaham. 

 

Pemangkin penilaian semula itu termasuk pengembangan kapasiti utama di China untuk memenuhi pertumbuhan jumlah pelanggan semikonduktor di negara itu, program sumber luaran baharu daripada pelanggan RF utama, pembayaran dividen lebih tinggi dan susut nilai dalam ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). 

 

Sementara itu, tambah nilai dalam ringgit berbanding dolar AS serta aplikasi permintaan akhir yang perlahan seperti telefon pintar dan pusat data merupakan risiko penurunan utama kepada penarafan saham Unisem oleh CGS-CIMB. - DagangNews.com