KUALA LUMPUR 28 Dis - DRB-Hicom Bhd. mengumumkan anak syarikat tidak langsungnya, PONSB Capital Bhd. menerusi Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (PONSB) membuat terbitan sulung berjumlah RM500 juta dalam bentuk nilai nominal di bawah Program Sukuk Wakalah, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Program sukuk ini telah diserahkan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 2 Disember lalu mengikut Garis Panduan SC mengenai Produk Pasaran Modal Tidak Tersenarai di bawah Kerangka Kerja Permulaan dan Pelancaran.
Tempoh bagi Program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) itu adalah selama 30 tahun bermula daripada terbitan di bawah program IMTN manakala Program Kertas Komersial Islamik (ICP) pula selama 7 tahun daripada tarikh terbitan di bawah Program ICP.
Terbitan itu akan dilaksanakan bermula dengan ICP sebanyak RM50 juta nilai nominal bagi tempoh 6 bulan diikuti IMTN berjumlah RM135 juta untuk tempoh 5 tahun dan IMTN sebanyak RM315 juta bagi tempoh 7 tahun.
Menurutnya, hasil daripada terbitan Program Sukuk Wakalah akan digunakan oleh PONSB untuk membiayai tujuan korporat am termasuk perbelanjaan modal, keperluan modal kerja, yuran dan perbelanjaan berkaitan program sukuk ini.
"Selain itu, ia juga bagi membiayai akaun pembayaran balik pemegang amanah sukuk di bawah Program Sukuk Wakalah dan atau membiayai semula pembiayaan Islam tertunggak/pinjaman konvensional dan pembiayaan islamik pada masa hadapan," katanya.
Program IMTN dan ICP masing-masing telah diberi penarafan akhir dengan AA3(s) dengan prospek stabil dan P1(s) oleh RAM Rating Services Bhd. - DagangNews.com