Unit khas bantu KASA cegah jenayah alam sekitar | DagangNews Skip to main content

Unit khas bantu KASA cegah jenayah alam sekitar

Tuan Ibrahim Tuan Man

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 14 Sept. - Kerajaan menubuhkah satu unit khas bagi membantu Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mencegah jenayah berkaitan alam sekitar di negara ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, unit pencegahan jenayah alam sekitar itu akan diletakkan di bawah KASA bermula Oktober ini.

"Unit ini sangat diperlukan kerana banyak kes pencemaran berlaku termasuk sabotaj dan rizab air negara.

"Operasi penguatkuasaan memerlukan perubahan struktur dan pendekatan lebih komprehensif yang perlu dilakukan segera," jelasnya seperti dipetik Malay Mail.

Tambahnya lagi, agensi penguatkuasaan memerlukan sokongan dalam bentuk logistik, forensik dan pengalaman penyiasatan di samping peraturan dan undang-undang yang lebih baik.

Unit baharu itu akan melakukan penguatkuasaan terhadap jenayah alam sekitar di seluruh negara dan tidak bertumpu di Lembah Klang sahaja.

Sementara itu, beliau turut memberitahu bahawa undang-undang berkaitan denda akan turut diperbaharui.

"Kementerian juga akan memperbaharui undang-undang mengenai kesalahan denda yang lebih tinggi terhadap pesalah.

"Kami juga telah mengusulkan untuk memberikan kuasa kepada pihak polis untuk menggunakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Undang-Undang Perkhidmatan Air Industri 2006 kepada mana-mana pesalah," tambahnya.

Baru-baru ini, DagangNews.com melaporkan sebanyak 1,292 kawasan di sekitar Lembah Klang, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami masalah gangguan bekalan air tidak berjadual.

Menurut laporan, ganguan yang berlaku itu disebabkan oleh pencemaran sumber air mentah di Sungai Gong berpunca daripada kegagalan pengurusan sisa buangan sebuah kilang yang didapati beroperasi tanpa lesen sejak 2014. - DagangNews.com