Ketua Agensi Allianz General, Ivan Lee (dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Allianz General, Sean Wang; Pengarah Urusan Pekat, Chin Soo Mau dan Pengarah Solaroo, Hann Sze pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara kedua-dua pihak yang diadakan hari ini.
KUALA LUMPUR 1 Dis - Pekat Group Bhd. menerusi unit yang baru dilancarkan, Solaroo Systems Sdn. Bhd. memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Allianz General Insurance Company (Malaysia) Bhd. untuk menyediakan sistem solar photovoltaic (PV) di semua kediamannya dengan insurans SolarPro oleh Allianz.
Di bawah kerjasama itu yang memberi fokus untuk menerapkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), Solaroo akan memasukkan insurans SolarPro dalam pakej operasi dan penyelenggaraan sepanjang tempoh 5 tahun bagi semua kediaman pengguna.
Pengarah Urusan Pekat, Chin Soo Mau berkata, kerjasama itu secara tidak langsung memperkukuhkan hubungan jangka panjang antara Pekat dan Allianz General dari segi penyelesaian insurans.
"Peluang bekerjasama dengan Allianz General untuk memajukan usaha ESG memberikan kami kepuasan kerana dapat berkongsi kepakaran dan sumber kami dengan masyarakat, serta melindungi alam sekitar.
"Kami sememangnya amat berbangga kerana dapat melakukannya bersama Allianz General, yang berkongsi prinsip dan nilai yang sama dalam kemampanan dan tenaga boleh diperbaharui," katanya dalam kenyataan hari ini.
SolarPro dapat membantu menangani isu seperti kekurangan sokongan perkhidmatan, kos penyelenggaraan yang tinggi dan kurangnya pampasan bagi kerosakan yang dihadapi kediaman dan pengguna komersial solar PV.
Ia dengan menawarkan perlindungan komprehensif meliputi kerugian atau kerosakan kepada sistem solar PV, termasuk kehilangan pendapatan atau simpanan ketika sistem mengalami masalah.
Sementara itu, Pengarah Solaroo, Hann Sze berkata, semua sistem solar PV Solaroo kini dilindugi dengan insurans SolarPro.
Katanya, pihaknya menyasarkan untuk memasang 10,000 kediaman dengan sistem solar PV dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
"Ini berupaya menjana sehingga 103 juta kilowatt per jam (kwh) elektrik setahun, dan mengurangkan sehingga 60,000 tan karbon dioksida setahun," katanya. - DagangNews.com