United Plantations catat peningkatan untung bersih kepada RM235.6 juta pada 3QFY23 berbanding RM196.7 pada tahun lalu | DagangNews Skip to main content

United Plantations catat peningkatan untung bersih kepada RM235.6 juta pada 3QFY23 berbanding RM196.7 pada tahun lalu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Nov - Untung bersih United Plantations Berhad meningkat kepada RM235.6 juta bagi suku ketiga berakhir berakhir 30 September 2023 (3QFY23) berbanding RM196.7 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Hasil kumpulan itu bagaimanapun susut kepada RM540.1 juta berbanding RM649.6 juta pada 3QFY22.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2023 (9MFY23), untung bersih kumpulan itu meningkat kepada RM506.7 juta berbanding RM441 juta namun hasil bagi tempoh itu susut kepada RM1.47 bilion berbanding RM1.9 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Kumpulan itu berkata, perolehan daripada segmen utama kumpulan bagi tempoh semasa adalah lebih rendah sebanyak 1.2% jika dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun lepas disebabkan oleh harga isirung kelapa sawit (PK) yang jauh lebih rendah.

 

Harga purata PK adalah RM1,968 bagi setiap tan adalah 32.3% lebih rendah berbanding tahun lepas.

 

"Walaupun hasil yang lebih rendah, keuntungan sebelum cukai segmen ini meningkat sebanyak 1.5% dalam tempoh semasa, terutamanya disebabkan oleh harga purata minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi dan cukai keuntungan luar biasa yang lebih rendah.

 

"Harga MSM pada RM3,927 bagi setiap tan adalah 2.3% lebih tinggi daripada tahun lalu manakala keuntungan luar biasa MSM pada RM19.1 juta adalah 65.6% lebih rendah daripada tahun lepas disebabkan oleh harga purata MSM MPOB yang lebih rendah dalam tempoh semasa," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, perolehan bagi segmen penapisan susut sebanyak 34.4% kepada RM936.8 juta dalam tempoh semasa daripada RM1.42 bilion dalam tempoh sama disebabkan purata harga jualan yang lebih rendah akibat daripada harga MSM/PK yang lebih rendah.

 

"Walaupun hasil lebih rendah dicatat bagi segmen ini namun terdapat peningkatan 14.79% dalam keuntungan sebelum cukai dalam tempoh semasa," katanya.

 

United Plantations sedar dengan cabaran yang bakal dihadapai pada suku keempat tahun ini terutama kesan inflasi yang tinggi dan kebimbangan kemelesetan digabungkan dengan peningkatan konflik global di Ukraine dan kini juga Asia Barat.

 

Katanya, konflik itu perlu dipantau dengan teliti kerana ia akan memberi kesan kepada perdagangan global dan rantaian bekalan.

 

"Walaupun kos tenaga, baja, bahan kimia, bahan binaan dan alat ganti mencatatkan penurunan namun ia masih melebihi paras yang dialami beberapa tahun lalu, menyebabkan kos pengeluaran kumpulan meningkat ke paras tertinggi yang pernah ada.

 

"Situasi kekurangan buruh dan operasi lapangan bertambah baik dengan ketara selepas pembukaan semula sempadan, perhatian khusus diberikan ke arah peningkatan kemahiran pekerja baharu," katanya. - DagangNews.com