Unjuran defisit fiskal 2021 dinaikkan kepada 6.0% - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

Unjuran defisit fiskal 2021 dinaikkan kepada 6.0% - Tengku Zafrul

 

KUALA LUMPUR 18 Mac - Ekoran pelaksanaan pakej rangsangan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), unjuran defisit fiskal bagi tahun 2021 ditetapkan pada kadar 6.0% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

 

Jangkaan itu meningkat daripada 5.4% unjuran awal yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. 

 

 "Buat masa ini, saya percaya penting untuk memastikan ekonomi negara terus berfungsi semasa tempoh krisis kesihatan ini,” katanya pada taklimat media, menurut laporan Bernama. 

 

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan Pemerkasa yang bernilai RM20 bilion di mana disasarkan kepada golongan tertentu menerusi 20 inisiatif.

 

Sementara itu, di sebalik unjuran defisit fiskal itu, Tengku Zafrul menegaskan bahawa negara mampu untuk mengurangkan defisit fiskalnya dan kementererian itu berhasrat untuk terus menumpukan kepada agenda konsolidasi fiskal. 

 

Pada tahun lalu, negara merekodkan defisit fiskal 6.2% daripada KDNK.

 

Mengulas mengenai suntikan fiskal baharu RM11 bilion bagi Pemerkasa, Tengku Zafrul mendedahkan pakej rangsangan itu akan dibiayai oleh pinjaman domestik. 

 

"Kita juga merancang menerbitkan sukuk lestari hijau untuk membiayai semula bon dolar AS kita, yang tamat tempoh pada Julai. 

 

“Kali ini kita membiayai semula dalam dolar AS dan bukannya ringgit,” katanya lagi. 

 

Tambahnya, jumlah hutang asing negara ketika ini berada kurang daripada 3.0%. 

 

Beliau menjangkakan had statutori hutang langsung negara akan berada pada kadar 58.5% daripada KDNK. 

 

Ini bermakna, ia masih di bawah had statutori hutang langsung yang ditetapkan pada 60%. 

 

Pada akhir Februari 2021, hutang langsung kepada KDNK negara berada pada paras 54%, manakala jumlah hutang keseluruhan pada tahap 57%. - DagangNews.com