Unjuran jualan kenderaan 2024 dinaikkan kepada 790,000 susulan prestasi kukuh Perodua - RHB IB | DagangNews Skip to main content

Unjuran jualan kenderaan 2024 dinaikkan kepada 790,000 susulan prestasi kukuh Perodua - RHB IB

Perodua diunjur mampu catat jualan lebih baik tahun ini. -Gambar hiasan Perodua Taiping
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 19 Sept - RHB Investment Bank menyemak naik unjuran jualan kenderaan pada 2024 kepada 790,000 buah berbanding hanya 740,000 sebelum ini.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun kekal dengan pandangan yang sektor automotif bakal mengalami fasa menurun dari segi jumlah jualan kecuali bagi kereta keluaran Perodua.

 

"Perodua mungkin terkecuali memandangkan harga kenderaannya mampu milik dan berbaloi dengan nilai. 

 

"Setelah menaikkan andaian jumlah jualan tahun kewangan 2024 (FY24) untuk Perodua, kami tingkatkan ramalan jualan keseluruhan industri (TIV) kepada 790,000 unit daripada 740,000 unit. 

 

"Ramalan yang dipinda ini menandakan TIV menurun sedikit 1% tahun ke tahun (YoY)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Ini merupakan semakan unjuran TIV 2024 terbaharu selepas RHB Investment menaikkan kepada 740,000 buah pada Jun lalu - menyamai anggaran MAA, berbanding unjuran asal 625,000.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Jualan kenderaan 2024 diunjur naik 740,000 buah, peningkatan 18% berbanding unjuran awal - RHB Investment

 

RHB Investment dalam pada itu mengekalkan saranan 'Neutral' terhadap sektor ini dengan memilih Bermaz Auto sebagai saham pilihan utama.

 

"Wajaran 'Neutral' terhadap sektor kekal ekoran jangkaan TIV lebih lemah apabila jumlah jualan kembali normal pada separuh kedua (2H).

 

"Mengikut andaian baharu kami, TIV separuh kedua 2024 akan jatuh 8% YoY," ujarnya.

 

Kata firma itu, biarpun Perodua menyasarkan jualan mencecah 330,000 unit tahun ini iaitu mendatar YoY, namun jualannya secara YTD berkembang 17%.

 

Menurutnya, ini meletakkan syarikat pengeluar kereta kebangsaan ini berpeluang melakar jumlah jualan kereta tertinggi sekali lagi pada tahun 2024. 

 

"Oleh itu, kami naikkan andaian jualan Perodua 2024 kepada 345,000 unit daripada 330,000 unit sebelum ini," jelasnya.

 

Dalam pada itu, RHB Investment meramalkan prestasi TIV QoQ lebih kukuh untuk suku ketiga 2024 (3Q24) daripada paras rendah pada suku kedua.

 

Kata firma itu, secara YoY pula, suku ketiga mungkin memaparkan satu lagi prestasi mantap apabila TIV bulan Julai meningkat 11% YoY oleh sebab sumbangan Proton dan Perodua apabila masing-masing mencatat kenaikan 14% dan 13% YoY semasa tempoh ini. 

 

"Sungguhpun begitu, pertumbuhan ini mungkin dikekang oleh jualan lebih rendah daripada syarikat-syarikat pengeluar kereta bukan kebangsaan susulan persaingan yang semakin sengit dengan kemunculan peserta baharu dalam pasaran, khususnya pengeluar kereta dari China," ujarnya.

 

Jelas RHB Investment, kategori kenderaan elektrik (EV) pula tetap tidak mendapat sambutan ramai kerana harga jualannya yang lebih mahal dengan kereta jenis import (CBU) tertakluk pada harga lantai RM100,000.

 

"Melainkan model-model kereta yang dipasang secara tempatan (CKD) dijual pada harga lebih berpatutan atau pelaksanaan harga lantai ini tamat sebelum akhir 2025, jualan kereta EV mungkin tidak akan memberikan impak ketara pada TIV," katanya.- DagangNews.com