Unjuran pendapatan Cahya Mata Sarawak bagi FY24 diturunkan 12% kesan prestasi lemah pada FY23 – RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Unjuran pendapatan Cahya Mata Sarawak bagi FY24 diturunkan 12% kesan prestasi lemah pada FY23 – RHB Investment

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Feb - RHB Investment menurunkan unjuran pendapatan Cahya Mata Sarawak Berhad (CMS) bagi tahun kewangan 2024 sebanyak 12% untuk mengambil kira jumlah jualan yang lebih perlahan daripada perniagaan hartanah dan pembinaan, serta kerugian berpanjangan daripada loji fosfat, kata RHB Investment.

 

Bagaimanapun, ia mengekalkan anggaran pendapatan FY25-26 sementara menunggu taklimat selepas keputusan. 

 

Pendapatan CMS pada FY23 meningkat 19% tahun ke tahun (YoY) kepada RM1.2 bilion didorong sumbangan lebih tinggi daripada bahagian simen dan perkakas minyak. 

 

Bagaimanapun, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) merosot 55.4% YoY kepada RM94.5 juta yang meleset di bawah anggaran tahun penuh RHB Investment dan konsensus masing-masing pada 96% dan 86%. 

 

“Keputusan lebih lemah daripada jangkaan kerana kerugian perniagaan fosfat yang semakin melebar dan sumbangan lebih lemah daripada bahagian penyelenggaraan jalan dan pelaburan strategik, serta pembangunan hartanah yang merugikan,” jelasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut firma penyelidikan itu, bahagian penyelenggaraan jalan mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) yang lebih lemah 20% tahun ke tahun (YoY) kepada RM13.7 juta berikutan jualan yang lebih rendah dan pengurangan dalam margin kasar. 

 

Sementara itu, pembangunan hartanah merosot kepada kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM2.2 juta berbanding PBT sebanyak RM33.2 juta pada FY22, disebabkan jualan hartanah yang lebih perlahan dan ketiadaan jualan tanah. 

 

LBT perniagaan fosfat pula melebar lebih dua kali ganda kepada RM156.7 juta memandangkan loji berkenaan terus menanggung peningkatan perbelanjaan operasi (opex) dan susut nilai.

 

Namun, perniagaan simen CMS mencatatkan pendapatan dan PBT yang lebih tinggi sebanyak RM681.7 juta (13% YoY) dan RM146 juta (82% YoY). 

 

“Keuntungan yang lebih baik berpunca daripada peningkatan jualan simen dan peningkatan dalam margin kasar disebabkan oleh kos input lebih rendah,” jelasnya.

 

RHB Investment mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM1.06 sesaham berbanding RM1.14 sebelumnya selepas memasukkan pengurangnan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebanyak 22% kerana skor 1.9 ESG kumpulan berada di bawah median negara 3.0. 

 

Dengan penilaian semasanya kini pada 7.4 kali berhampiran min nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sejarah lima tahun sebanyak 8.6 kali, firma itu berkata profil ganjaran risiko CMS kelihatan seimbang.

 

Setakat pukul 10:33 pagi ini, saham CMS menokok 2.5 sen atau 2.6% kepada RM1 dengan permodalan pasarannya bernilai RM1.07 bilion. - DagangNews.com