Unjuran pendapatan CSC Steel dikurangkan 10.8% bagi FY24 kesan kelemahan harga, jumlah jualan keluli – TA Securities | DagangNews Skip to main content

Unjuran pendapatan CSC Steel dikurangkan 10.8% bagi FY24 kesan kelemahan harga, jumlah jualan keluli – TA Securities

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Feb - TA Securities mengurangkan unjuran pendapatan CSC Steel Holdings Berhad untuk tahun kewangan 2024 (FY24) sebanyak 10.8% berdasarkan pemulihan lebih perlahan dalam harga dan jumlah jualan pada FY23.

 

Firma penyelidikan itu berkata, syarikat pembuatan dan pemasaran gegelung keluli itu mencatat pendapatan teras sebanyak RM46.2 juta, yang meleset daripada jangkaan dengan membentuk hanya 82.2% daripada anggaran tahun penuhnya. 

 

Pendapatan suku ke suku kumpulan itu pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) merosot 6.8% kepada RM376.6 juta.

 

Menurut firma tersebut, ia berpunca daripada kelemahan permintaan di Asia akibat daripada pengurangan aktiviti infrastruktur dan diburukkan lagi oleh harga dan jumlah jualan keluli yang lebih rendah. 

 

Bagaimanapun, pendapatan teras meningkat dengan ketara kepada RM6.8 bilion daripada RM0.2 juta pada 3QFY23, didorong oleh strategi pengoptimuman kos yang berkesan.

 

TA Securities berkata, kunci kira-kira CSC Steel kekal kukuh dengan sifar pinjaman dan kedudukan tunai bersih RM348.8 juta.

 

“Mengorak langkah ke hadapan, pasaran keluli global menunjukkan tanda-tanda pemulihan, didorong oleh kebangkitan ekonomi global yang berterusan dan lonjakan projek infrastruktur. Bagaimanapun, cabaran berterusan, termasuk lebihan kapasiti pengeluaran dan kebimbangan alam sekitar,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Meskipun menghadapi cabaran luar, TA Securities menjangkakan industri keluli Malaysia kekal berdaya tahan, dengan projek infrastruktur domestik semakin mendapat momentum.

 

Firma penyelidikan tersebut turut optimis bahawa inisiatif perdagangan kerajaan dan langkah perlindungan, termasuk moratorium dua tahun yang direka bentuk untuk penilaian semula bakal menangani cabaran dalam industri besi dan keluli tempatan.

 

Tambahnya, ini sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, yang akan menyumbang kepada penyelesaian bagi isu berterusan seperti lebihan kapasiti dan lambakan keluli.

 

TA Securities memperkenalkan pendapatan bersih baharu CSC Steel untuk FY26 sebanyak RM68.6 juta, mengunjurkan pertumbuhan 15%.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada RM1.41 sesaham daripada RM1.38, berdasarkan sasaran nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 9 kali, setelah penilaian tahun asas dianjak ke hadapan kepada tahun kalendar 2025.

 

Harga saham CSC Steel menokok 5 sen atau 4% kepada RM1.30 setakat pukul 12:19 tengah hari dengan permodalan pasaran sebanyak RM494 juta. - DagangNews.com