Unjuran pendapatan Kumpulan Perangsang Selangor bagi FY24 dikurangkan 21% ekoran pelupusan 50% kepentingan dalam Kaiserkorp – Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Unjuran pendapatan Kumpulan Perangsang Selangor bagi FY24 dikurangkan 21% ekoran pelupusan 50% kepentingan dalam Kaiserkorp – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 Jan - Kenanga Research mengurangkan unjuran pendapatan Kumpulan Perangsang Selangor Bhd (KPS) bagi tahun kewangan 2024 (FY24) sebanyak 21% selepas ia menjual 50% kepentingan dalam Kaiserkorp Corporation Sdn Bhd (Kaiserkorp) untuk tunai RM265.5 juta.

 

Firma penyelidikan itu berkata pelupusan kepentingan dalam pengilang produk tilam dan peralatan tempat tidur King Koil tersebut menghasilkan keuntungan sebanyak RM117.4 juta atau 21.8 sen sesaham.

 

Daripada hasil keuntungan RM117.4 juta itu, KPS telah memperuntukkan RM24.2 juta untuk dividen khas, iaitu 4.5 sen sesaham.

 

Bagaimanapun, firma itu berpendapat bahawa jika kumpulan itu tidak melaburkan semula hasil tersebut dalam perniagaan pulangan tinggi, langkah tersebut boleh mencairkan pendapatannya.

 

“Melainkan KPS melabur semula hasil tunai dalam perniagaan dengan pulangan tinggi, pelupusan kepentingan itu menghakis unjuran keuntungan bersih FY24 kami sebanyak 21% kerana kehilangan sumbangan keuntungan bersih sebanyak RM12 juta setahun daripada Kaiserkorp hanya sebahagiannya diimbangi oleh pendapatan faedah bersih RM5.2 juta daripada wang tunai tambahan.

 

“Atas sebab ini, kami hanya ‘neutral’ terhadap urus niaga tersebut,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Susulan pengurangan unjuran pendapatan FY24, Kenanga Research mengekalkan saranan ‘underperform’ dengan harga sasaran (TP) dikurangkan 12% kepada 45 sen sesaham daripada 51 sen.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, KPS berkata ia melupuskan kepentingan ekuiti terbabit kepada AI Dream (HK) Ltd, mengurangkan kepentingannya kepada 10% daripada 60% dan pelupusan itu dijangka siap menjelang Mac 2024.

 

“Perjanjian itu menilai aset berkenaan pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) FY23 sebanyak 22 kali ganda, iaitu premium 10% kepada purata PER hadapan bagi syarikat antarabangsa setanding pada 20 kali ganda (Leggett & Platt, Incorporate dan Tempur Sealy International, Inc),” kata Kenanga Research.

 

Firma itu berkata, risiko kepada saranan tersebut termasuk pemulihan lebih kukuh daripada jangkaan dalam sektor elektronik pengguna, pelonggaran kos input dan pembaharuan kontrak yang konsisten oleh pelanggan utama.

 

Pada pukul 11:01 pagi ini, saham KPS telah merosot 1.5 sen atau 1.8% kepada 82 sen dengan permodalan pasarannya bernilai RM440.7 juta. - DagangNews.com