Unjuran pendapatan WCT bagi FY24 diturunkan 24% ekoran kos input lebih tinggi – Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Unjuran pendapatan WCT bagi FY24 diturunkan 24% ekoran kos input lebih tinggi – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 1 Mac - Kenanga Research menurunkan unjuran pendapatan WCT Holdings Berhad bagi tahun kewangan 2024 (FY24) sebanyak 24% berikutan kos input yang lebih tinggi dan penurunan anggaran penambahan projek kepada RM1 bilion daripada RM1.5 bilion. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, prestasi syarikat pembinaan itu pada FY23 mengecewakan dengan kerugian bersih yang besar sebanyak RM254.1 juta berbanding jangkaan keuntungan bersih tahun penuh firma dan konsensus masing-masing berjumlah RM9.2 juta dan RM57.5 juta.

 

“Perbezaan berbanding ramalan kami sebahagian besarnya datang daripada pembalikan keuntungan pembinaan sebanyak RM209.4 juta disebabkan oleh kos input dan buruh yang berpanjangan dan semakin meningkat,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Meskipun kumpulan itu belum memperoleh sebarang kontrak utama baharu pada FY23, firma tersebut percaya ia bersedia untuk FY24 yang lebih baik memandangkan pelancaran pelbagai projek infrastruktur awam akan bermula berlaku.

 

Antaranya adalah MRT3, LRT Bayan Lepas, Pan Borneo Sabah, Pembesaran Lapangan Terbang Subang dan pelbagai hospital kerajaan, tambahnya.

 

“Setakat Disember 2023, buku pesanan tertunggaknya berjumlah RM2.72 bilion berbanding RM3.04 bilion pada tiga bulan lalu, manakala buku tendernya bernilai lebih RM12 bilion pada masa ini,” katanya.

 

Firma itu memperkenalkan unjuran pendapatan RM42.4 juta bagi FY25, meningkat 18% daripada unjuran pada FY24 berdasarkan andaian penambahan kerja sebanyak RM1.5 bilion.

 

Oleh itu, firma tersebut mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) diturunkan sebanyak 6% kepada 66 sesaham daripada 70 sebelumnya setelah asas tahun penilaian dianjak kepada FY25.

 

Kenanga Research berkata, WCT memiliki prospek sektor pembinaan tempatan yang lebih baik dengan pelancaran projek awam.

 

Sementara itu, ia melihat pengewangan aset kumpulan melalui Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) lebih munasabah, didorong oleh peningkatan penghunian dan seterusnya pendapatan sewa, keuntungan dan penilaian untuk pusat membeli-belah dan hotel selepas pandemik. 

 

Pada rehat tengah hari, saham WCT ditutup rendah dengan penyusutan 5.5 sen atau 10.3% kepada 48 sen, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM680.7 juta. - DagangNews.com