Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 28 Sept. - Sasaran kerajaan untuk mencatatkan pertumbuhan ekonomi antara 4.5% hingga 5.5% di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dilihat sebagai unjuran yang realistik dan mampu dicapai.
Walaupun ekonomi menyaksikan kemerosotan pada tahun lalu, namun bagi firma penyelidikan, AmBank Research, sasaran pertumbuhan itu lebih teguh jika dibandingkan dengan purata sejarah antara 2016 dan 2020.
“Sasaran pertumbuhan dilihat realisitik, diunjurkan antara 4.5% dan 5.5% setiap tahun di bawah RMKe-12, sama seperti semakan jangka masa pertengahan RMKe-11 ketika pendapatan kasar negara per kapita diramalkan meningkat kepada RM57,882 daripada RM42,503 pada 2020.
“RMKe-12 penting dan mencabar, mengambil kira keadaan pandemik COVID-19 semasa yang menyaksikan ruang fiskal kerajaan terhad di mana mampu merencatkan kemampanan fiskal.
“Namun, RMKe-12 menggariskan visi ekonomi yang jelas untuk dekad baharu bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara akan terus inklusif dan mampan,” jelas firma itu dalam satu nota penyelidikan.
Kerajaan memberi jaminan untuk melaksanakan penyatuan fiskal apabila ekonomi bertapak pada asas yang lebih kukuh.
Menjelang tahun 2025, kerajaan mengunjurkan baki fiskal antara -3.0% hingga -3.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM68.5 billion.
Baca : RMKe-12: Rancangan berani untuk mentransformasi struktur ekonomi Malaysia - MIDF
Bagi firma penyelidikan, CGS-CIMB Research, unjuran pertumbuhan KDNK serta sasaran penyatuan fiskal yang digariskan kerajaan di bawah RMKe-12 mampu dicapai.
Kata firma itu, paras unjuran KDNK tertinggi pada 5.5% berkemungkinan bergantung kepada pelaksanaan yang berjaya dalam inisiatif melonjakkan pendapatan serta produktiviti, sementara sasaran penyatuan fiskal pula akan dicapai sekiranya tiada kejutan teruk ke atas ekonomi.
“Landasan ke arah penyatuan fiskal akan disokong oleh strategi untuk meneroka sumber hasil baharu termasuk cukai karbon, pengembangan cukai gula untuk merangkumi produk minuman pra campuran serta cukai yang dikhususkan untuk membiayai program pengurangan kemiskinan.
“Cukai keuntungan modal dan durian runtuh yang sebelum ini menjadi perhatian tidak disebut di dalam laporan itu. Sama seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), tetapi kami berpendapat ini mungkin dilaksanakan apabila ekonomi sepenuhnya pulih,” tambah CGS-CIMB. - DagangNews.com