Unjuran untung bersih HPP Holdings bagi FY24-25 dikurangkan sehingga 25% susulan prestasi lemah pada 1HFY24 | DagangNews Skip to main content

Unjuran untung bersih HPP Holdings bagi FY24-25 dikurangkan sehingga 25% susulan prestasi lemah pada 1HFY24

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Jan - Kenanga Research mengurangkan unjuran keuntungan bersih HPP Holdings Berhad bagi tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24-25) masing-masing sebanyak 25% dan 11% susulan prestasi kumpulan yang mengecewakan pada separuh pertama FY24 [1HFY24] (Jun-November).

 

Firma penyelidikan itu berkata, unjuran tersebut disemak semula bagi mencerminkan permintaan lemah untuk produk pembungkusan tidak beralun dan kos input yang lebih tinggi dihadapi syarikat itu dalam tempoh tersebut.

 

Keuntungan bersih syarikat pembungkusan itu pada 1HFY24 sebanyak RM2.4 juta merangkumi ramalan tahun penuh Kenanga Research dan konsensus masing-masing hanya sebanyak 17% dan 19%.

 

Oleh itu, firma tersebut mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) lebih rendah 11% kepada 64 sen sesaham daripada 72 sen sebelum ini.

 

Bagaimanapun, Kenanga Research menjangkakan prestasi kumpulan itu pada separuh kedua FY24 (Disember-Mei) lebih kukuh, dipacu sumbangan sulung daripada produk pembungkusan acuan pulpa kertas kitar semula bermargin tinggi baharunya, yang merupakan pengganti kepada produk pembungkusan styrofoam serupa.

 

“Produk ini adalah kos efektif dan tidak tertakluk kepada cukai alam sekitar yang tinggi (dikenakan pada pembungkusan styrofoam) di pelbagai negara.

 

“Kami melihat pasaran sedia untuk produk baharunya daripada pelanggan sedia ada dan baharu memandangkan atribut boleh dikitar semula mereka memenuhi piawaian alam sekitar Kesatuan Eropah (EU) yang ketat.

 

“Kami juga menjangkakan pemulihan dalam tempahan, terutamanya daripada segmen elektrik dan elektronik (E&E) berikutan penstokan semula oleh pelanggan dan pelancaran produk baharu,” ujar firma itu dalam nota penyelidikannya hari ini.

 

Kenanga Research berkata ia terus menyukai HPP disebabkan oleh prospek pertumbuhan jangka panjangnya yang kukuh iaitu dalam segmen elektronik pengguna, kontraseptif sarung, makanan dan minuman (F&B), serta farmaseutikal.

 

Ia menambah bahawa kumpulan itu memiliki pensijilan G7 Master Colourspace yang diiktiraf di peringkat global, membolehkannya mewujudkan kedudukan kukuh dalam rantaian bekalan syarikat multinasional, menyediakan reka bentuk, pelbagai warna dan rumusan percetakan offset atau flexographic resolusi tinggi, di samping pangkalan pelanggannya yang teguh termasuk Pelanggan D.

 

Pada pukul 11:05 pagi ini, saham HPP susut 0.5 sen atau 1.6% kepada 31 sen, menilai permodalan pasarannya sebanyak RM120.4 juta. - DagangNews.com