Untung bersih 2QFY22 Cypark turun 19.5% kepada RM14.52 juta berbanding RM18.03 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih 2QFY22 Cypark turun 19.5% kepada RM14.52 juta berbanding RM18.03 juta

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Jun - Keuntungan bersih Cypark Resources Berhad turun sebanyak 19.5% kepada RM14.52 juta untuk 2QFY22 berbanding RM18.03 juta bagi tempoh sama tahun lalu akibat penurunan hasil kontrak bagi pembinaan Solar Skala Besar 2 (LSS2) yang hampir siap.

 

Pendapatan kumpulan itu juga menurun sebanyak 11.82% kepada RM75.81 juta daripada RM85.97 juta berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

"Penurunan itu berpunca daripada hasil kontrak yang lebih rendah yang dijana daripada projek LSS2 yang mana salah satunya berjaya disiapkan pada 1Q2022 dan dua lagi sedang dalam fasa akhir penyiapan mengikut suku tahun semasa," katanya dalam satu pemakluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, penurunan itu juga sebahagiannya disebabkan oleh kos tambahan yang ditanggung untuk logistik, buruh dan kesan akibat pandemik COVID-19.

 

Katanya, meksipun projek LSS2 akan beralih kepada fasa operasi dan penyelenggaraan, Cypark akan terus menerima aliran hasil yang berbeza. 

 

"Hasil faedah daripada operasi dan penyelenggaraan merupakan pendapatan berulang untuk tempoh 21 tahun akan datang dan menyumbang  aliran masuk yang konsisten kepada kumpulan secara positif bagi jangka panjang," katanya.

 

Dari segi prospek, kumpulan itu menjangkakan kuota solar yang akan ditawarkan Suruhanjaya Tenaga melalui tender LSS5 dan seterunya adalah bersaiz besar selepas kerajaan meningkatkan sasaran 20% penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) menjelang 2025 kepada 31% selaras dengan komitmen terhadap Perjanjian Paris 2012.

 

Kumpulan itu juga percaya kepada potensi besar bagi pertumbuhan dalam projek sisa kepada tenaga (WTE) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

 

"Daripada lima potensi tender WTE baharu, Cypark telah menyertai dua tender WTE di Johor dan Melaka dengan kerjasama syarikat milik kerajaan negeri.

 

"Kami percaya prestasi cemerlang kami dalam mereka bentuk, membina, memiliki dan mengendalikan kilang WTE pertama negara di Ladang Tanah Merah, Negeri Sembilan boleh membantu kami untuk memenangi lebih banyak projek pada masa hadapan," katanya. - DagangNews.com