Untung bersih 3QFY22 Westports menyusut 24% kepada RM150.39 juta kesan kos bahan api tinggi | DagangNews Skip to main content

Untung bersih 3QFY22 Westports menyusut 24% kepada RM150.39 juta kesan kos bahan api tinggi

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Nov - Untung bersih Westports Holdings Berhad untuk suku ketiga berakhir 30 September 2022 menyusut 24% kepada RM150.39 juta berbanding RM199.06 juta tahun lalu kesan daripada kos bahan api yang tinggi.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku tersebut meningkat kepada RM520.54 juta daripada RM504.89 juta setahun lalu, didorong oleh pertumbuhan dalam hasil konvensional.

 

Perolehan sesaham susut kepada 4.41 sen daripada 5.84 sen dan syarikat tidak mengisytiharkan sebarang dividen.

 

"Bagi 9MFY22 keuntungan bersih Westports susut kepada RM464.54 juta daripada RM585.35 juta setahun sebelumnya didorong pendapatan RM1.55 bilion berbanding RM1.52 bilion sebelumnya.

 

"Wesports menyatakan bahawa pendapatan yang tinggi itu disumbangkan perkembangan hasil kontena," katanya.

 

Mengulas mengenai prospeknya, kumpulan itu berkata, tekanan inflasi global, dasar sifar COVID-19 di China, ketegangan geopolitik di Eropah serta ketidaktentuan pasaran menjadi faktor penyumbang kepada aktiviti ekonomi yang lebih perlahan pada 2022.

 

Katanya, pengeluaran kontena pada tahun semasa boleh berkurangan ke arah penurunan satu digit.

 

Dalam satu kenyataan berasingan, Pengarah Urusan Kumpulan Westports, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah berkata, walaupun menghadapi cabaran tahun semasa, syarikat itu komited untuk mencapai pelepasan karbon bersih-sifar menjelang 2050.

 

Beliau berkata, syarikat itu akan menumpukan dan bergantung terutamanya pada pengurangan intensiti pelepasan dan nyahkarbon bagi peralatan operasi terminalnya.

 

“Awal tahun ini, kami menerima penghantaran Kalmar Eco Reachstacker yang pertama di negara ini iaitu peralatan baharu yang mula membuka jalan ke arah mengurangkan jejak intensiti alam sekitar kami.

 

"Syarikat baru sahaja menerima penghantaran tiga Kren Super Pasca-Panamax Quay baharu dengan kapasiti lif berkembar dengan kapasiti 55 tan.

 

“Seberat 1,100 tan setiap satu, kren berkuasa elektrik baharu menggantikan kren lama bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan di terminal," katanya. - DagangNews.com