Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 26 Nov - Untung bersih Alliance Bank Malaysia Bhd (Alliance Bank) bagi suku kedua berakhir 30 September, 2021 meningkat kepada RM172.74 juta daripada RM103.9 juta pada suku yang sama tahun lepas walaupun hasil lebih rendah.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, bank itu memaklumkan hasil turun kepada RM452.9 juta daripada RM474.45 juta sebelumnya.
Alliance Bank berkata, keuntungan kumpulan selepas cukai sebanyak RM172.7 juta bagi suku itu adalah 66.2 peratus atau RM68.8 juta lebih tinggi berbanding RM103.94 juta pada suku yang sama sebelumnya, kebanyakannya disebabkan oleh pendapatan faedah yang lebih tinggi dan kos kredit lebih rendah.
“Sorotan suku utama adalah pendapatan faedah bersih lebih tinggi sebanyak RM19.2 juta atau 5.7 peratus, disebabkan oleh kos pembiayaan lebih rendah dan margin faedah bersih (NIM) lebih baik sebanyak 24 mata asas (bps) pada 2.47 peratus.
“Pendapatan operasi lain turun sebanyak RM40.7 juta atau 30.1 peratus kerana pendapatan perbendaharaan dan pelaburan yang lebih rendah serta pendapatan pengurusan kekayaan, perbelanjaan operasi meningkat sebanyak RM5 juta, kebanyakannya daripada kos kakitangan dan kos kredit bersih pada 7.5 mata asas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bagi prospek pula, ia berkata kumpulan itu akan menumpukan kepada mengembangkan perniagaan dalam tiga bidang iaitu meningkatkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perbankan pengguna dengan melengkapkan pengurus perhubungan dengan peralatan digital untuk melayani pelanggan bernilai tinggi dan mengembangkan pasukan komersialnya.
Selain itu, bank itu berkata ia mempercepatkan cadangan nilai jualan silang kepada pelanggannya untuk meningkatkan penembusan pasaran dan pendapatan berasaskan yuran serta meningkatkan produktiviti serta kecekapan dengan memperkemas proses melalui pemusatan fungsi dan meningkatkan produktiviti cawangan.
"Bank merancang untuk mewujudkan hubungan perbankan pengguna dengan 70 peratus daripada asas pemilik perniagaannya dan menarik lebih 100,000 pelanggan baharu setiap tahun.
"Kami kini memberi tumpuan untuk membantu pelanggan kami meletakkan semula kedudukan untuk merebut peluang pertumbuhan apabila pasaran pulih," katanya.
Alliance Bank juga mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 8.3 sen sesaham, ia akan dibayar pada 30 Disdmber 2021. -DagangNews.com