Untung bersih Bumi Armada meningkat kepada RM186.3 juta pada suku kedua | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Bumi Armada meningkat kepada RM186.3 juta pada suku kedua

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Bumi Armada Bhd. merekodkan untung bersih sebanyak RM186.3 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022, meningkat 33% daripada RM139.86 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat kepada RM618.43 juta berbanding RM591.86 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Bagi suku ke suku, pendapatan meningkat 17% daripada suku sebelumnya berikutan kemajuan kerja-kerja pembinaan dasar laut di Laut Caspian, serta hasil kejuruteraan dan reka bentuk bahagian hadapan awal yang diiktiraf pada suku berkenaan.

 

Prestasi kukuh suku kedua itu dicapai walaupun terdapat kemerosotan nilai sebanyak RM88 juta disebabkan oleh rayuan litigasi Woodside yang tidak berjaya.

 

Nilai kontrak masa hadapannya setakat suku kedua berjumlah RM13.1 bilion, dengan tambahan pilihan tambahan sehingga RM9.4 bilion.

 

Untuk tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022 itu, Bumi Armada merekodkan untung bersih sebanyak RM372 juta daripada RM302.65 juta dengan pendapatan meningkat kepada RM1.15 bilion berbanding RM1.13 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Mengulas mengenai prestasi kewangan ini, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gary Christenson berkata, armada FPO akan terus memberikan operasi yang stabil pada suku kedua 2022 dengan tumpuan kepada keselamatan, kemampanan, kecemerlangan operasi dan disiplin kewangan.

 

"Dengan harga tenaga yang tinggi dan kedudukan kewangan kami lebih baik, kami sedang meneruskan pelbagai projek baharu," katanya. - DagangNews.com