Untung bersih CelcomDigi melonjak kepada RM455.7 juta pada 3QFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih CelcomDigi melonjak kepada RM455.7 juta pada 3QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Nov - Untung bersih CelcomDigi Berhad meningkat kepada RM455.72 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) berbanding RM264.48 juta bagi suku sama tahun lalu.

 

Kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM3.1 bilion daripada RM1.53 bilion pada 3QFY22.

 

Dalam tempoh sembilan bulan, untung bersih CelcomDigi ialah RM1.12 bilion, meningkat daripada RM720.67 juta pada 9MFY22, manakala hasil melonjak kepada RM9.41 bilion daripada RM4.59 bilion.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Idham Nawawi berkata, pihaknya akan mempercepatkan perbelanjaan modal (capex) bagi suku akhir 2023 kerana kumpulan itu terus melaksanakan usaha integrasi penggabungannya.

 

Beliau berkata, kumpulan itu berada di landasan yang tepat dengan usaha penggabungan keseluruhan bagi penyepaduan dan pemodenan rangkaiannya mencapai lebih 4,400 tapak pada akhir Oktober 2023.

 

celcomdigi
Datuk Idham Nawawi

 

“Kami gembira dengan kemajuan yang dicapai dalam penyepaduan perniagaan secara keseluruhan, terutamanya dalam menyampaikan rangkaian terluas dan terpantas di Malaysia melalui penyampaian program integrasi dan pemodenan rangkaian kami yang kukuh.

 

"Tumpuan kepada pelaksanaan pasaran dan pengurusan kos berhemah akan menyumbang kepada prestasi kukuh kami pada suku ini, dengan pertumbuhan pelanggan daripada semua segmen dan peningkatan dalam margin keuntungan," katanya dalam satu kenyataan di Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, hasil perkhidmatan pada suku ketiga meningkat 0.1% tahun ke tahun kepada RM2.71 bilion daripada pertumbuhan cemerlang dalam segmen prabayar, rumah dan segmen lain, serta penambahan pelanggan yang kukuh.

 

Katanya, hasil pascabayar berkurangan 0.8% suku tahun ke suku tahun kepada RM1.26 bilion disebabkan penggunaan yang lebih rendah dan sekatan kawal selia selanjutnya pada trafik mesej pukal tetapi hasil prabayar meningkat 0.2% kepada RM1.15 bilion atas penambahan pelanggan yang kukuh.

 

Perolehan gentian rumah meningkat 28.6% tahun ke tahun kepada RM45 juta pada suku semasa berdasarkan penggunaan berterusan dalam alat tambah gentian baharu dan pelan berkelajuan tinggi untuk penyelesaian rumah pintar.

 

Pendapatan 3QFY23 sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) berjumlah RM1.57 bilion, meningkat 5.9% dan 7.2% menggariskan usaha mengoptimumkan kos bagi memberikan margin Ebitda sebanyak 50.5%. - DagangNews.com