Untung bersih Ecomate Q3FY22 melonjak 245.13% kepada RM2.62 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Ecomate Q3FY22 melonjak 245.13% kepada RM2.62 juta

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Jan -  Ecomate Holdings Bhd melaporkan keuntungan bersih sebanyak RM2.62 juta untuk suku ketiga berakhir 30 November 2021 (Q3FY22), peningkatan 245.13% daripada kerugian bersihnya pada suku sebelumnya yang berakhir 31 Ogos 2021 (Q3FY22) sebanyak RM1.81 juta. 

 

Kumpulan itu berkata, hasil suku tahunan bagi suku tersebut meningkat 142.87% kepada RM15.68 juta, daripada RM6.45 juta pada suku kedua untuk FY2022 (2QFY22). 

 

Katanya, pertumbuhan hasil bagi suku di bawah kajian adalah disebabkan terutamanya oleh permintaan jualan yang lebih tinggi daripada pelanggan Malaysia manakala peningkatan dalam keuntungan disebabkan sumbangan hasil yang lebih tinggi.

 

"Peningkatan dalam prestasi kewangan berbanding suku sebelumnya juga disebabkan penangguhan sementara operasi pembuatan oleh kerajaan. 

 

“Pendapatan kumpulan itu kebanyakannya diperoleh daripada pembuatan dan penjualan perabot dan alat ganti. 

 

"Malaysia merupakan pasaran serantau terbesar, yang menyumbang kira-kira 43.46% kepada hasil kumpulan dalam tempoh kewangan semasa,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

 

Tambahnya, Kumpulan juga telah menanggung perbelanjaan penyenaraian kira-kira RM270,000 untuk suku tersebut. 

 

Syarikat itu disenaraikan dua bulan lalu pada 8 November 2021.

 

Mengenai prospek tahun kewangan semasanya, Ecomate berkata kawasan geografi utama di mana ia beroperasi iaitu, Asia, Amerika Utara, Australasia dan Eropah, adalah 'sangat sensitif' kepada faktor makroekonomi terutamanya ekonomi umum dan ketidaktentuan yang mengelilingi prospek ekonomi masa depan negara berkenaan.

 

"Lembaga menjangkakan prospek kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 28 Feb 2022 (FY22) akan mencabar," katanya.-DagangNews.com