Untung bersih Farm Fresh pada 1QFY25 melonjak 4 kali ganda kepada RM25.9 juta dipacu jualan lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Farm Fresh pada 1QFY25 melonjak 4 kali ganda kepada RM25.9 juta dipacu jualan lebih tinggi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Untung bersih Farm Fresh Bhd pada suku pertama berkahir 30 Jun 2024 (1QFY25) melonjak lebih empat kali ganda kepada RM25.9 juta berbanding RM6.3 juta bagi suku sama tahun sebelumnya dipacu jualan lebih tinggi daripada produk baharunya selain segmen hotel, restoran dan kafe (HORECA).

 

Kumpulan itu berkata, hasil bagi suku itu juga meningkat kepada RM241.7 juta berbanding RM185.5 juta 1QFY24.

 

Katanya, peningkatan itu juga disumbangkan daripada bahagian aiskrimnya di bawah jenama Inside Scoop dan Sin Wah.

 

"Sementara itu, operasi di Australia juga telah berubah dengan merekodkan hasil yang lebih tinggi dan menjana keuntungan operasi bagi suku tersebut, didorong oleh jualan luaran yang lebih tinggi daripada Goulburn Valley Creamery Pty Ltd," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Loi Tuan Ee berkata, trajektori pertumbuhan positif itu adalah kemuncak daripada inisiatif strategik yang telah kumpulan itu lakukan termasuk pengembangan produk, pengambilan pelanggan baharu dan pengoptimuman kos.

 

Katanya, mereka bersedia untuk pertumbuhan yang mampan, memanfaatkan reputasi jenama bagi menguasai bahagian pasaran yang lebih besar.

 

"Kami menjangkakan pertumbuhan berterusan daripada produk seperti Farm Fresh Grow dalam format serbuk yang telah mendapat sambutan hebat daripada pelanggan setakat ini dan ia dijangka mengalami momentum jualan yang lebih kukuh pada masa hadapan.

 

"Dipasangkan dengan produk malt coklat yang baru dilancarkan, kami menjangkakan ia akan merangsang pemangkin pertumbuhan baharu bagi kumpulan, membolehkan kami menembusi segmen pasaran baharu untuk mengembangkan lagi jumlah pasaran," katanya.

 

Beliau berkata, pengembangan serantau kumpulan itu telah terbentuk di Filipina, dengan pihaknya menjangkakan kilang mereka akan mula beroperasi pada penghujung Ogos 2024 sekali gus membolehkan mereka memperkenalkan produk susu sejuk ultra tinggi (UHT) dan produk susu tumbesaran ke pasaran Greater Manila.

 

Katanya, bagi Australia, pihaknya telah mencatatkan pemulihan pada suku ini didorong oleh hasil yang lebih tinggi daripada Goulburn Valley Creamery.

 

"Kami menjangkakan hasil Australia akan terus bertambah baik berikutan pengurangan harga ladang sebanyak kira-kira 11% mulai Julai 2024.

 

"Persekitaran operasi yang menggalakkan dengan kos input yang lebih rendah ini dijangka membawa kepada keputusan positif dalam beberapa suku akan datang," katanya.- DagangNews.com