Untung bersih Frontken merosot 9% kepada RM112 juta bagi FY23, isytihar dividen 2.2 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Frontken merosot 9% kepada RM112 juta bagi FY23, isytihar dividen 2.2 sen sesaham

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Feb - Keuntungan bersih Frontken Corp Bhd merosot 9% kepada RM112 juta dalam tahun kewangan 2023 (FY23) daripada RM123 juta pada tahun sebelumnya.

 

Pendapatan penyedia perkhidmatan sokongan bagi industri semikonduktor itu pada FY23 pula berjumlah RM500 juta, 9% lebih rendah berbanding RM517 juta tahun sebelumnya kerana permintaan lebih perlahan daripada industri semikonduktor.

 

Pendapatan sesaham (EPS) kumpulan itu susut kepada 7.12 sen daripada 7.84 sen, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Frontken mengisytiharkan dividen kedua sebanyak 2.2 sen sesaham, menjadikan pembayaran dividen bagi FY23 berjumlah 4.2 sen.

 

Kumpulan itu menjelaskan bahawa keuntungannya menurun disebabkan pendapatan lebih rendah dan cukai pegangan lebih tinggi yang dikenakan ke atas dividen diisytiharkan oleh anak syarikatnya di Taiwan. 

 

Bagi suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23), keuntungan bersih merosot sedikit 0.46% kepada RM29.7 juta daripada RM29.8 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Sementara itu, pendapatan pada suku dalam tinjauan bernilai RM131.5 juta, 3% lebih rendah daripada RM135 juta sebelumnya.

 

Berdasarkan unjuran pertumbuhan dua angka pasaran semikonduktor pada 2024, Frontken berkata pihaknya berhati-hati optimis memandangkan kadar penggunaan kemudahan baharu kedua kumpulan di Taiwan meningkat.

 

“Kami juga amat berharap projek di bawah kerjasama dengan pelanggan akan membuahkan hasil sepanjang tahun 2024. Prestasi suku yang konsisten sejak suku ketiga 2023 merupakan petanda menggalakkan kepada pertumbuhan yang berpotensi kukuh pada 2024.

 

“Bagi industri minyak dan gas, kami amat teruja dengan prestasi unit perniagaan kami dalam sektor ini dan berharap perniagaan akan terus berkembang pada 2024 berikutan peningkatan tempahan daripada pelbagai kontrak untuk penyediaan perkhidmatan kejuruteraan, bekalan tenaga kerja dan juga perkhidmatan peralatan berputar mekanikal dan alat ganti yang kami ada dengan syarikat minyak utama,” katanya dalam makluman itu.

 

Pada pukul 2:46 petang ini, saham Frontken menokok 6 sen atau 1.7% kepada RM3.62 dengan permodalan pasarannya bernilai RM5.7 bilion. - DagangNews.com