Untung bersih Hap Seng Plantations susut hampir 86% kepada RM9.4 juta pada 2QFY23 akibat purata harga jualan yang rendah | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Hap Seng Plantations susut hampir 86% kepada RM9.4 juta pada 2QFY23 akibat purata harga jualan yang rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Untung bersih Hap Seng Plantations Berhad susut hampir 86% kepada RM9.4 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2QFY23) berbanding RM66.9 juta pada tahun lalu.

 

Kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM168.8 juta iaitu 32% lebih rendah berbanding RM246.8 juta pada tahun sebelumnya disebabkan oleh purata harga jualan yang lebih rendah bagi semua produk sawit tetapi diimbangi jumlah jualan minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi berbanding isirung sawit (PK).

 

Katanya, purata harga jualan setiap tan MSM dan PK bagi suku semasa masing-masing lebih rendah pada RM3,978 dan RM2,168 berbanding suku tahun sebelumnya sebanyak RM6,737 untuk MSM dan RM3,769 untuk PK.

 

Jumlah jualan MSM bagi suku semasa pada 37,635 tan adalah 17% melebihi suku tahun sebelumnya sebanyak 32,044 tan manakala jumlah jualan PK adalah 11% lebih tinggi pada 7,604 tan berbanding suku tahun sebelumnya sebanyak 6,847 tan,  hasil daripada pengeluaran yang lebih tinggi .

 

Pengeluaran MSM dan PK pada suku semasa adalah lebih tinggi daripada suku tahun sebelumnya sebanyak 16% dan 12% masing-masing disebabkan oleh pengeluaran tandan buah segar (FFB) yang lebih tinggi, jumlah pembelian BTS yang lebih tinggi dan kadar perahan MSM yang lebih tinggi.

 

"Pengeluaran BTS bagi suku semasa adalah 10% lebih tinggi daripada suku yang sama tahun sebelumnya, mendapat manfaat daripada hasil BTS yang lebih tinggi disebabkan oleh aliran hasil bermusim dan perubahan dalam corak tanaman.

 

"Kos pengeluaran terus terjejas oleh harga baja dan diesel yang tinggi, dan kenaikan gaji minimum daripada RM1,100 kepada RM1,500 berkuat kuasa 31 Mei 2022," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, kos pengeluaran dijangka kekal tinggi berikutan tekanan inflasi dan harga baja, diesel dan bahan input lain yang tinggi serta kos buruh yang lebih tinggi.

 

Katanya, bagi mengurangkan perkara itu, pihaknya akan terus menumpukan perhatian kepada penambahbaikan kadar hasil dan pengekstrakan BTS sambil membuat usaha bersepadu untuk meningkatkan kecekapan kos keseluruhan operasinya.

 

"Berdasarkan perkara di atas, kumpulan itu menjangkakan keputusannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 akan dipengaruhi pergerakan harga komoditi, kos pengeluaran yang tinggi dan ketidaktentuan ekonomi global," katanya. - DagangNews.com