KUALA LUMPUR 22 Nov - Keuntungan bersih Hibiscus Petroleum Bhd. meningkat tiga kali ganda kepada RM135.26 juta bagi suku pertama berakhir 30 September 2022 berbanding RM41.52 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Peningkatan itu terutamanya harga gas, minyak dan kondensat yang lebih tinggi, sekali gus menyaksikan pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat kepada RM604.77 juta daripada RM246.69 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Pada suku berkenaan, sebanyak 1.0 juta tong (MMbbl) minyak dan kondensat dan lebih 510,000 tong setara minyak (boe) gas telah dijual dengan masing-masing menyumbang sebanyak RM502.1 juta dan RM101.5 juta kepada jumlah pendapatan.
Paras harga minyak dan gas yang kukuh telah menyumbang secara positif kepada tahap keuntungan dalam semua aset pengeluar kumpulan di Malaysia dan United Kingdom (UK).
Melangkah ke hadapan, kumpulan mengekalkan sasaran untuk menjual hampir 7.2 hingga 7.5 juta tong boe, kondensat dan gas bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23).
Mengenai prospek kumpulan, Pengarah Urusan Hibiscus Petroleum, Dr Kenneth Pereira berkata, aliran makro semasa yang memacu harga tenaga lebih tinggi dan prestasi dolar Amerika Syarikat (AS) dengan kukuh akan berterusan.
Katanya, walaupun pengurangan tahap pelepasan global adalah sangat penting, kumpulan juga melihat naratif yang muncul daripada acara COP 27 baru-baru ini yang diadakan di Mesir mengiktiraf bahawa minyak dan gas (O&G), khususnya gas, mempunyai peranan penting dalam peralihan tenaga.
"Di UK, terdapat perubahan tertentu yang diumumkan baru-baru ini oleh kerajaan berkenaan tahap percukaian keseluruhan, termasuk penerokaan O&G serta sektor pengeluaran.
"Semasa levi keuntungan tenaga sedang dinaikkan, insentif pelaburan yang sepadan ditawarkan serentak dengan kenaikan tersebut, justeru, kami mahu untuk memfasakan rancangan pelaburan modal (capex) kami untuk mengoptimumkan nilai daripada insentif ini," katanya.
Beliau percaya dengan berbuat demikian, impak daripada kenaikan cukai akan diminimumkan dan strategi pertumbuhan UKCS yang dilaksanakanya boleh berkembang, meskipun lebih berhati-hati. - DagangNews.com