Untung bersih I-Berhad menjunam 53% kepada RM675,000 dalam 1QFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih I-Berhad menjunam 53% kepada RM675,000 dalam 1QFY23

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 30 Mei - Keuntungan bersih I-Berhad telah jatuh 53% kepada RM675,000 bagi suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) berbanding RM1.4 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, pendapatan kumpulan dalam suku berakhir 31 Mac 2023 itu melonjak 144% kepada RM44.5 juta daripada RM18.2 juta tahun lalu.

 

Sehingga 31 Mac 2023, jualan belum dibil kumpulan berjumlah RM94.5 juta, berbanding RM50.9 juta pada 31 Mac 2022, menyediakan I-Berhad asas yang kukuh untuk pertumbuhan mampan berterusan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu melaporkan peningkatan pendapatan suku dalam tinjauan terutamanya daripada segmen pembangunan hartanah yang didorong oleh pembinaan terkini iaitu kediaman BeCentral, serta penjualan kediaman siap, i-Suite dan Hyde di i-City.

 

Kumpulan itu berkata keuntungan sebelum cukai (PBT) segmen perniagaan itu sebanyak RM711,000 disebabkan pengiktirafan penjimatan kos untuk projek yang telah siap.

 

Seterusnya, segmen pelaburan hartanah telah mencatatkan pendapatan dan PBT lebih tinggi, masing-masing sebanyak RM5.7 juta dan RM1.03 juta disebabkan kadar penghunian yang tinggi di Mercu Maybank.

 

Manakala segmen riadah dan hospitaliti menyumbang pendapatan tertinggi sebanyak RM20.6 juta terutamanya disebabkan pembukaan rasmi DoubleTree by Hilton Hotel pada suku ketiga 2022.

 

Menurut kumpulan itu, PBT lebih rendah berjumlah RM773,000 pada suku semasa disebabkan perbelanjaan yang ditanggung untuk operasi hotel memandangkan hotel itu masih di peringkat permulaan.

 

Mengulas tentang prestasi 1QFY23, Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong berkata kumpulan itu mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM10 bilion setakat ini, di mana ia telah berjaya melaksanakan sebahagian besar projek tersebut di samping mengekalkan GDV RM5 bilion yang diperuntukkan untuk usaha pembangunan masa hadapan.

 

 

Tan Sri Lim Kim Hong
Tan Sri Lim Kim Hong

 

 

“Kami yakin i-City memacu pertumbuhan yang teguh kepada segmen pembangunan hartanah dan kumpulan terus mengembangkan segmen pembangunan projek kami dengan projek terbaharu seperti kediaman BeCentral dan ruang korporat dan peruncitan di Twenty8 dan 8Premier,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut beliau, BeCentral Tower 1 di i-City telah terjual sebanyak 42% daripada 474 unit, memeberi galakan kepada kumpulan untuk terus menerajui pertumbuhan melalui segmen pembangunan hartanah.

 

Menurut I-Berhad, strategi jangka panjang mereka adalah memperuntukkan 50% daripada modal kepada pelaburan hartanah bagi memanfaatkan peluang dalam ekonomi digital berikutan terdapat rancangan untuk melancarkan dua pusat data berskala besar seluas 100,000 kaki persegi. -DagangNews.com