Untung bersih IOI Properties bagi FY23 melonjak kepada RM1.39 bilion didorong peningkatan portfolio hartanah | DagangNews Skip to main content

Untung bersih IOI Properties bagi FY23 melonjak kepada RM1.39 bilion didorong peningkatan portfolio hartanah

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Untung bersih IOI Properties Group Berhad melonjak kepada RM1.39 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) daripada RM686.73 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya didorong peningkatan portfolio pelaburan hartanahnya.

 

Hasil bagi tahun kewangan tersebut hampir tidak berubah pada RM2.593 bilion berbanding RM2.59 bilion sebelumnya.

 

“Walaupun hasil dalam segmen pembangunan hartanah merosot sebanyak 11%, penurunan itu diimbangi oleh prestasi mengagumkan dalam segmen pelaburan hartanah yang meningkat sebanyak 35%.

 

“Dalam keadaan aktiviti berkaitan pelancongan yang semakin pulih, segmen hospitaliti dan liburan meningkat 85% berbanding tahun sebelumnya,” kata syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Bagaimanapun, bagi 4QFY23, untung bersih susut kepada RM235.37 juta berbanding RM292.48 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya. 

 

Hasil juga susut kepada RM666.46 juta berbanding RM715.94 juta.

 

Bagi FY23, IOI Properties berkata, segmen pembangunan hartanah mencapai jualan dengan pertukaran kontrak sebanyak RM1.96 bilion. 

 

Projek tempatan menyumbang RM1.67 bilion, iaitu 85% daripada jumlah jualan, manakala projek luar negara dari China dan Singapura menyumbang baki 15% pada RM290.4 juta.

 

Di Malaysia, jualan disumbang sebahagian besarnya dari Lembah Klang iaitu sebanyak RM854.1 juta, diterajui oleh pembangunan bersepadu syarikat di IOI Resort City di Putrajaya dan perbandaran matangnya di Bandar Puteri Puchong di Selangor. 

 

Johor terus mendahului negeri lain dengan sumbangan jualan sebanyak RM772.0 juta.

 

Mengulas mengenai prospek FY24, pemaju hartanah itu merancang untuk menawarkan pelbagai produk serba guna  di seluruh perbandaran sedia adanya. 

 

Unit kediaman dan komersial berharga sederhana akan dilancarkan di 16 Sierra, Bandar Puteri Puchong, Bandar Puchong Jaya, Warisan Puteri dan Bandar Puteri Bangi manakala lot perindustrian akan ditawarkan di Taman Perindustrian IOI yang dijenamakan semula di Banting di Lembah Klang.

 

“Di Johor, bagi memanfaatkan permintaan yang kukuh, pelancaran akan tertumpu di Bandar Putra Kulai diikuti dengan pelancaran di perbandaran Bandar IOI Segamat, Taman Kempas Utama dan taman perindustrian kami di iSynergy di Senai,” katanya.- DagangNews.com