Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 24 Nov. - Keuntungan bersih Malakoff Corp. Bhd. pada suku ketiga berakhir 30 September 2020 menyusut 46.24% kepada RM50.8 juta berbanding RM94.49 juta bagi tempoh sama tahun lalu berikutan operasi secara berterusan.
Syarikat pengeluar tenaga itu turut mencatatkan hasil yang lebih rendah serta tiada pendapatan pelaburan berikutan pelupusan Malakoff Australia Pty Ltd (MAPL) pada 2019.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Malakoff berkata, perolehan menyusut hasil daripada penurunan operasi secara berterusan kepada RM1.48 bilion pada suku berkenaan berbanding RM1.82 bilion.
Jelasnya, penurunan itu disebabkan terutama oleh 'bayaran tenaga yang rendah direkodkan dari Segari Energy Ventures Sdn. Bhd.'
Bagi tempoh 9 bulan, keuntungan bersih terkumpul daripada operasi berterusan bagaimanapun meningkat kepada RM244.94 juta berbanding RM176.83 juta tahun sebelumnya walaupun perolehan daripada operasi adalah rendah pada RM4.76 bilion berbanding RM5.56 bilion.
"Ketika ketidaktentuan meningkat terhadap pemulihan ekonomi, kumpulan akan memberi fokus kepada menambahbaik kecekapan operasi loji dan melaksanakan langkah penjimatan kos ketika berdepan tempoh mencabar ini.
"Berdasarkan perkara di atas, kumpulan menjangkakan prestasi keseluruhan akan tetap memuaskan untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020," katanya.
Menurut Malakoff, situasi pandemik COVID-19 akan terus memberi kesan kepada ekonomi di seluruh dunia termasuk Malaysia dan masalah perniagaan yang berlanjutan.
"Kesan ini bagaimanapun tidak memberi kesan material kepada operasi dan kewangan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2020.
"Dalam hal ini, kumpulan akan memantau dan menguruskan operasi kumpulan ketika situasi pandemik semakin meningkat," katanya.
Jelas syarikat itu, kumpulan itu sedang meneroka tenaga bahan buangan (WTE), biogas dan loji jana kuasa biomas.
Katanya, kumpulan akan menyertai tender untuk projek loji WTE yang berkapasiti 800 tan metri sehari di Bukit Payong, Johor, sebagai sebahagian daripada sasaran kerajaan untuk menubuhkan 6 loji WTE menjelang 2025.
"Untuk itu, kumpulan akan terus memainkan peranan besar dalam sektor tenaga diperbaharui sejajar dengan sasaran kerajaan untuk meningkat gabungan kapasiti RE semasa kepada 20% menjelang 2025," katanya. - DagangNews.com