Untung bersih MGB melonjak 3 kali ganda kepada RM48.8 juta pada FY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih MGB melonjak 3 kali ganda kepada RM48.8 juta pada FY23

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 Feb - MGB Berhad catat keuntungan bersih RM48.8 juta pada tahun kewangan 2023 (FY23), melonjak tiga kali ganda daripada RM15 juta dalam tahun kewangan 2022 (FY22).

 

Sementara itu, pendapatan syarikat pembinaan dan pembangunan hartanah berkenaan turut meningkat 37% kepada RM971.8 juta berbanding RM612.8 juta tahun sebelumnya.

 

Pendapat sesaham (EPS) kumpulan pula menokok kepada 8.25 sen pada tahun dalam tinjauan daripada 2.55 sen sebelum ini.

 

MGB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, pendapatan segmen pembinaan dan perdagangan mencatat kenaikan sebanyak 45% kepada 856.24 juta bagi FY23 daripada RM588.99 juta pada FY22, didorong sumbangan daripada projek seperti Idaman BSP, Kita Sejati, Prestige dan Kita Mekar.

 

Selaras dengan peningkatan pendapatan itu, keuntungan sebelum cukai (PBT) segmen terbabit pada FY23 bernilai RM52.49 juta, dua kali ganda lebih tinggi daripada RM23.82 juta tahun sebelumnya, dipacu peningkatan kemajuan aktiviti pembinaan dan pengoptimuman kos.

 

Sementara itu, segmen pembangunan hartanah MGB menyaksikan lonjakan pendapatan hampir lima kali ganda kepada RM115.59 juta pada FY23 berbanding RM23.81 juta tahun sebelumnya, manakala PBT segmen berjumlah RM 18.57 juta, meningkat hampir enam kali ganda daripada RM3.22 juta.

 

“Ini disokong oleh pengebilan kemajuan yang lebih tinggi untuk projek Idaman Melur dan Idaman Cahaya Fasa 1, serta penyerahan rumah melibatkan projek Laman Bayu Fasa 3 dan 4,” jelasnya dalam makluman berkenaan.

 

Mengulas tentang prospek, MGB berkata buku pesanan segmen pembinaan yang kini berjumlah kira-kira RM1.14 bilion dan jualan belum dibil sebanyak RM650 juta daripada projek pembangunan hartanah yang sedang berjalan akan menyumbang secara positif kepada pendapatan 2024.

 

Kumpulan itu berkata, meskipun berdepan cabaran kenaikan kadar faedah, ia berharap dapat membangunkan pendekatan inovatif untuk pelanggan dengan memberi tumpuan kepada kecekapan kos dan lebih pantas ke pasaran.

 

Prospek tersebut disokong oleh pendekatan Teknologi Dipacu Nilai (VaDTech), di samping rancangan kerajaan membina 500,000 rumah mampu milik menjelang 2025, pelbagai skim pembiayaan untuk menggalakkan pembangunan rumah mampu milik dan subsidi harga rumah mampu milik.

 

“Dengan kawalan kos yang berhati-hati dan kepekaan terhadap perkembangan pasaran dari semasa ke semasa, MGB menyasarkan untuk mencapai hasil optimum daripada ketidaktentuan.

 

“Tanpa sebarang keadaan yang tidak dijangka, lembaga pengarah yakin dengan berhati-hati bahawa kumpulan akan mencapai prestasi yang memuaskan pada 2024,” tambahnya.  - DagangNews.com