Untung bersih MISC merosot 48% kepada RM430 juta bagi 3QFY23, isytihar dividen 7 sen | DagangNews Skip to main content

Untung bersih MISC merosot 48% kepada RM430 juta bagi 3QFY23, isytihar dividen 7 sen

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Nov - Keuntungan bersih MISC Bhd jatuh dua kali ganda kepada RM430 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) berbanding RM820.6 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Sementara itu, pendapatan kumpulan pada suku dalam tinjauan berjumlah RM3.37 bilion, menurun 6.9% daripada RM3.6 bilion tahun lalu, manakala pendapatan sesaham (EPS) susut kepada 9.6 sen daripada 18.4 sen.

 

Kumpulan itu mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 7 sen sesaham untuk FY23, menjadikan dividen tahunan berjumlah 24 sen sesaham, meningkat daripada 21 sen tahun lalu.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, MISC berkata keuntungan operasi kumpulan bagi suku berakhir 30 September 2023 itu berjumlah RM649.9 juta, merosot RM380 juta atau 36.9% daripada RM1.03 bilion pada suku sama tahun.

 

Ini terutamanya disebabkan oleh pampasan sekali sahaja untuk rundingan semula kontrak pada suku berkenaan bagi segmen petroleum dan penghantaran produk, di samping keuntungan lebih rendah dalam segmen perniagaan luar pesisir berikutan penukaran unit terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) dan peruntukan kos tambahan yang diiktiraf pada suku semasa.

 

Di samping itu, segmen kejuruteraan marin dan berat mencatat kerugian operasi pada suku semasa berikutan tambahan peruntukan kos disebabkan kesan kenaikan harga ke atas projek yang sedang dijalankan pada suku semasa.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23), keuntungan bersih MISC adalah sebanyak RM1.5 bilion, melonjak 27% daripada RM1.18 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Pendapatan kumpulan pula meningkat sedikit 3% kepada RM9.99 bilion berbanding RM9.69 bilion sebelumnya.

 

Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata harga komoditi terus mengukuh dalam pasaran perkapalan  gas ali cecar (LNG) pada suku ketiga 2023, didorong oleh peralihan semula laluan penghantaran melalui laluan yang lebih panjang disebabkan oleh situasi geopolitik dan permintaan bermusim.

 

“Dalam jangka masa terdekat, prospek kekal positif disokong oleh permintaan LNG global yang semakin meningkat dan pelaburan infrastruktur LNG tambahan yang seterusnya menyokong pertumbuhan LNG,” katanya.

Di samping itu, berikutan ketidaktentuan dalam kadar pasaran penghantaran petroleum, MISC berkata segmen petroleum dan penghantaran produk terus meningkatkan kualiti pendapatan terjamin dan kunci kira-kira menerusi perniagaan kapal tangki ulang-alik dan pembaharuan aset dengan bangunan dwi bahan api baharu.

 

“Harga minyak yang lebih tinggi telah menggalakkan perbelanjaan modal (capex) huluan global untuk kekal kukuh kerana ekonomi dunia terus kembali ke landasan sebelum pandemik walaupun pemulihan perlahan namun berdaya tahan,” tambahnya.

 

Bagi segmen kejuruteraan marin dan berat, MISC berkata kenaikan berterusan harga minyak susulan peningkatan permintaan global dijangka menggalakkan pemulihan selanjutnya dalam perbelanjaan modal huluan.

 - DagangNews.com