Untung bersih Oppstar susut kepada RM5.3 juta bagi 1QFY24 berbanding RM5.5 juta pada 4QFY23 | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Oppstar susut kepada RM5.3 juta bagi 1QFY24 berbanding RM5.5 juta pada 4QFY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Untung bersih Oppstar Berhad susut kepada RM5.3 juta suku pertama berakhir 30 Jun 2023 (1QFY24) berbanding RM5.5 juta pada suku keempat berakhir 31 Mac 2023 (4QFY23).

 

Bagi suku dalam tinjuan itu, pembekal perkhidmatan reka bentuk litar bersepadu itu mencatatkan hasil sebanyak RM15.7 juta iaitu peningkatan sebanyak 8.3% berbanding 4QFY23.

 

Kumpulan itu berkata, pertumbuhan hasil pada suku itu didorong oleh perkhidmatan reka bentuk siap guna yang mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 9% berbanding suku sebelumnya. Segmen ini menyumbang 70.1% daripada jumlah hasil keseluruhan.

 

Margin untung sebelum cukai dipengaruhi oleh kos kakitangan yang lebih tinggi dan aktiviti pemasaran luar negara sebagai persediaan untuk projek masa depan.

 

Baru-baru ini, Oppstar memeterai memorandum persefahaman dengan Chen Junhua dan Shenzhen City Yixin Investment bagi membentuk Shanghai Longhuixin Integrated Circuit Group Co. Ltd. (Longhuixin) yang diperbadankan di China pada 15 Ogos 2023.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Oppstar, Ng Meng Thai berkata, pihaknya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa kumpulan itu berjaya menyampaikan keputusan kewangan yang kukuh bagi tahun kewangan baharu dalam menghadapi persekitaran ekonomi yang mencabar.

 

Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun enggan berpuas hati dengan keputusan itu dan mereka sedang giat meneroka peluang perniagaan baharu dengan rakan kongsi semasa dan berpotensi dalam pasaran sedia ada dan baharu.

 

Katanya, seperti yang diumumkan baru-baru ini, kami telah menandatangani MOU dengan rakan kongsi kami dan membentuk Longhuixin.

 

"Kami juga sedang menerokai dan membangunkan produk serta harta intelek berlesen yang boleh memberikan kami aliran pendapatan berulang.

 

"Walaupun industri semikonduktor kini semakin lemah, kami yakin bahawa permintaan masa depan untuk reka bentuk IC kekal utuh, didorong oleh pelaburan besar yang dibuat oleh pemain industri utama.

 

"Selain itu, kami membuat pelaburan ke dalam Meta Core Sdn. Bhd., dalam usaha untuk memperkukuh sistem dan penyelesaian kami untuk semikonduktor termasuk perkhidmatan pengesahan. Melalui pelaburan ini, kami kini memiliki 70% daripada syarikat itu," katanya.- DagangNews.com