KUALA LUMPUR 13 Mac - Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mencatatkan rekod untung bersih dan hasil tertinggi setahun penuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) didorong kenaikan harga minyak dan gas sepanjang tahun lalu.
Untung bersih Petronas untuk FY22 berjumlah RM101.62 bilion, adalah kira-kira dua kali ganda daripada RM50.87 bilion yang diperolehnya pada tahun sebelumnya, disokong hasil yang lebih tinggi, diimbangi oleh kos produk yang lebih tinggi, pembayaran tunai dan perbelanjaan mengurus.
Hasil bagi tahun tersebut melonjak 51.33% kepada RM375.27 bilion daripada RM247.96 bilion, sebahagian besarnya disebabkan oleh harga realisasi purata yang lebih tinggi untuk semua produk dan impak pertukaran asing yang menggalakkan.
Segmen hiliran syarikat minyak dan gas negara (O&G) itu kekal sebagai penyumbang terasnya selepas mencatat hasil sebanyak RM174.84 bilion pada FY22 peningkatan 44.39% berbanding RM121.09 bilion yang dicatatkan setahun lalu, dibawa oleh harga minyak realisasi purata lebih tinggi ditambah pula dengan impak tukaran wang asing yang menggalakkan.
Bagi segmen gasnya, hasil melonjak 62.78% kepada RM122.75 bilion daripada RM75.41 bilion sebelumnya, hasil peningkatangas asli cecair (LNG) dan purata harga realisasi gas diproses.
Pendapatan segmen huluan Petronas meningkat kepada RM60.68 bilion berbanding RM40.1 bilion, didorong oleh harga realisasi purata yang lebih tinggi untuk minyak mentah dan kondensat dan gas asli, impak yang menggalakkan daripada forex serta jualan yang lebih tinggi.
Segmen korporat dan lain-lain mencapai hasil sebanyak RM17 bilion berbanding RM11.36 bilion disebabkan pengiktirafan hasil yang lebih tinggi daripada pembinaan unit terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) dan pendapatan berkaitan perkapalan.
Ia menutup tahun dengan untung bersih suku keempat sebanyak RM24.4 bilion, meningkat 55.41% daripada RM15.7 bilion pada 4QFY21, apabila hasil meningkat 38.25% kepada RM105.9 bilion daripada RM76.6 bilion, disokong oleh kesan harga yang menggalakkan untuk semua produk dan jumlah jualan yang lebih tinggi.
Jumlah aset mengukuh 11.91% kepada RM710.6 bilion pada 31 Disember 2022, berbanding RM635 bilion setahun lalu, disumbangkan terutamanya oleh tunai dan setara tunai yang lebih tinggi serta hartanah, loji dan peralatan.
“Ekuiti pemegang saham sebanyak RM401.5 bilion meningkat sebanyak RM50.8 bilion disebabkan keuntungan yang dicatatkan pada tahun yang diimbangi sebahagiannya oleh dividen yang diisytiharkan kepada pemegang saham berjumlah RM50 bilion.
“Nisbah penggearan menurun kepada 20.3% pada 31 Disember 2022, daripada 23.1% (setahun sebelumnya) disumbangkan oleh ekuiti yang lebih tinggi seperti yang dinyatakan,” katanya sambil menambah bahawa pulangan purata modal yang digunakan meningkat kepada 19.9% daripada 11.4% pada belakang keuntungan yang lebih tinggi yang dicatatkan pada tahun tersebut.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz menyifatkan prestasi cemerlang kumpulan itu adalah hasil daya tahan tenaga kerjanya.
"Walaupun 2022 membolehkan kami memanfaatkan kenaikan minyak dan gas dengan baik, tahun lalu juga menandakan peningkatan turun naik permintaan bekalan didorong oleh peralihan mendadak dalam pasaran dan peralihan tenaga yang dipercepatkan," katanya.
Beliau berkata, Petronas akan terus memantapkan rantaian nilai bersepadu dengan fokus kepada kecemerlangan komersial dan operasi selain memberi tumpuan kepada penyampaian strategi pertumbuhan tiga serampang serta aspirasi Pelepasan Sifar Karbon Bersih menjelang 2050.
Katanya, Petronas tidak mempunyai pilihan selain untuk mengukuhkan masa depan kumpulan bagi mengekalkan keupayaan kami dalam menyampaikan nilai jangka panjang yang mampan sebagai syarikat minyak nasional dan pemain tenaga global.
"Petronas berazam untuk melaksanakannya dengan teguh melalui perkongsian yang lebih kukuh dengan pihak berkepentingan, rakan kongsi, pemain OGSE tempatan dan pelanggan di seluruh dunia," katanya. - DagangNews.com